LHDN tukar waktu operasi sepanjang bulan Ramadan

Bernama
April 2, 2022 10:21 MYT
LHDN turut menyarankan pelanggan supaya melakukan urusan percukaian secara dalam talian bagi memastikan risiko penularan wabak COVID-19 dapat dikurangkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kaunter perkhidmatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di semua Pejabat Cawangan LHDN akan beroperasi dari 8 pagi hingga 4.30 petang, pada Isnin hingga Jumaat sepanjang bulan Ramadan ini, kecuali di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.
LHDN dalam satu kenyataan hari ini berkata bagi keempat-empat negeri itu, perkhidmatan bermula dan tamat pada waktu sama pada Ahad hingga Rabu, manakala pada Khamis, operasi ditetapkan pada 8 pagi hingga 3 petang.
Bagi perkhidmatan Hasil Care Line dan Telefonis Cawangan pula, ia akan bermula dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang kecuali hari Khamis di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor yang akan bermula pada 8 pagi hingga 3 petang.
Sementara itu, waktu operasi kaunter Pusat Bayaran Kuala Lumpur akan bermula dari 8 pagi hingga 4 petang, Pusat Bayaran Kota Kinabalu (8 pagi hingga 3 petang) dan Pusat Bayaran Kuching (8 pagi hingga 4 petang).
LHDN dalam kenyataan itu turut menyarankan pelanggan supaya melakukan urusan percukaian secara dalam talian bagi memastikan risiko penularan wabak COVID-19 dapat dikurangkan.
-- BERNAMA
#LHDN #Ramadan #waktu operasi #kaunter lhdn