PUTRAJAYA: Malaysia berpendirian penyelesaian terbaik bagi krisis berpanjangan di Myanmar adalah menerusi libat urus yang berkesan dengan semua pihak, selain memberi ruang kepada rakyat negara itu menentukan masa depan mereka sendiri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Thailand sebagai negara jiran dan rakan penting kepada Myanmar mampu memainkan peranan strategik dalam membantu mencari penyelesaian yang berkekalan terhadap konflik berkenaan.
"Saya amat gembira mendengar pandangan Perdana Menteri Thailand mengenai Myanmar. Malaysia berpandangan cara terbaik untuk menyelesaikan isu yang berlarutan sekian lama itu ialah melalui libat urus yang berkesan serta memberi peluang kepada rakyat Myanmar menentukan masa depan mereka sendiri.
"Thailand sebagai jiran dan sahabat rapat mempunyai peranan yang sangat penting dalam usaha terbabit. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Thailand atas inisiatif menjemput semua Menteri Luar ASEAN bagi berbincang serta mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenai krisis berkenaan," katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, di Kompleks Seri Perdana, di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Anutin berkata, beliau menghargai pendirian tegas Malaysia yang tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk keganasan serta komitmen negara ini untuk bekerjasama memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
"Kami juga berpuas hati dengan kerjasama erat antara agensi pertahanan dan keselamatan kedua-dua negara.
“Saya turut mengalu-alukan lawatan Menteri Pertahanan Thailand ke Malaysia pada minggu depan bagi memperkukuh lagi kerjasama pertahanan antara angkatan tentera kedua-dua negara,” katanya.
Anutin berkata, Malaysia dan Thailand turut bersetuju meningkatkan kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan, termasuk menubuhkan kumpulan kerja bersama bagi menyelaras langkah-langkah keselamatan di sepanjang Sungai Golok.
Dalam pada itu, pada penghujung sisang media bersama, Anutin turut mendoakan kejayaan Anwar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung Sabtu ini.
“Saya mendoakan yang terbaik untuk anda dalam pilihan raya akan datang di Johor,” katanya.