Libat urus untuk tambah kakitangan kesihatan sedang diusahakan - Dr Zaliha

Israr Khalid
Februari 22, 2023 16:27 MYT
DR ZALIHA: Tiada orang yang penat dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa beliau sedang cuba membuahkan penyelesaian antara kementerian terhadap isu kekurangan tenaga kerja sektor kesihatan.
Tegasnya, isu yang dihadapi oleh sektor kesihatan bukan menjadi tanggungjawab kementeriannya sahaja tetapi semua komponen kerajaan berkaitan untuk menanganinya bersama.
Kata Dr Zaliha, beliau sedar bahawa penambahan kakitangan di setiap bahagian dalam sektor kesihatan menjadi keperluan ketika ini selepas berhempas pulas melawan COVID-19.
“Tiada orang yang penat dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan saya mendengar bahawa mereka memerlukan lebih ramai anggota untuk pastikan perkhidmatan terbaik itu dapat diberikan.
“Saya selalu percaya bahawa penyelesaian terbaik itu memerlukan juga kerjasama atau libat urus antara kementerian dan agensi mereka ini juga sebenarnya memberi input kepada perkara yang kita nak selesaikan,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Kemaslahatan dan kebajikan kakitangan adalah perkara terutama maka beliau sendiri katanya setakat ini telah bercakap dengan Menteri Sumber Manusia dan berhubung dengan Kementerian Kewangan untuk memastikan yang terbaik dapat dihasilkan.
Libat urus untuk tambah kakitangan kesihatan sedang diusahakan - Menteri Kesihatan
#KKM #Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa #isu kekurangan tenaga kerja #Sektor kesihatan