Lif perlu diselenggara syarikat kompeten sebelum diaudit - JKKP

Fareez Azman
Ogos 3, 2019 08:01 MYT
Ketua Pengarah JKKP Ir Omar Mat Piah memberi penjelasan insiden lif berhenti secara mengejut di Pangsapuri PPR Kerinchi pada Jumaat. - Foto Astro AWANI/Fareez Azman
Kejadian di Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi pada Jumaat yang mengakibatkan enam penghuni cedera apabila salah sebuah lif berhenti secara mengejut perlu dijadikan iktibar buat semua pihak terutamanya syarikat penyelenggaraan lif yang dilantik.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Ir Omar Mat Piah, setiap lif perlu diselenggara oleh pihak syarikat penyelenggara yang dilantik oleh pemilik premis.
"Setiap 15 bulan JKKP akan datang dan buat pemeriksaan dan audit untuk pastikan sistem semua baik tetapi mengikut kehendak undang-undang dimana pihak pemunya perlu melantik syarikat penyelenggara yang kompeten.
"Bila ada kontraktor itu maksudnya kena jalankan penyelenggaraan. Kalau didapati syarikat terbabit tidak kompeten, tindakan undang-undang termasuk denda akan dikenakan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Dianggarkan sehingga kini, sebanyak 60 ribu buah lif beroperasi seluruh negara dengan 20 ribu buah lif beroperasi di Kuala Lumpur.
#bomba #cedera #DOSH #Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan #JKKP #Kuala Lumpur #lif #masalah teknikal #pangsapuri #patah kaki #Penduduk #PPR #rosak #terhempas #tragedi