Lihat TVET, AI dan digital sebagai ekonomi baharu negara – PM Anwar

Firdaus Azil
Mei 1, 2024 22:41 MYT
Perdana Menteri berharap semua pihak berkepentingan dapat memainkan peranan untuk memastikan sektor kejuruteraan kembali menjadi minat belia dan pelajar. - Gambar fail/Dagang News
PUTRAJAYA: Dalam memastikan ekonomi negara terus ke hadapan, masyarakat digesa untuk tidak lagi terperangkap dalam stigma lama, atau mudah terpengaruh dengan hasutan-hasutan pihak tertentu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada keperluan untuk memecahkan tembok pemikiran jumud yang beliau takrifkan sebagai pincang dan masih di takuk lama.
“Saya sebut, tentang keperluan memecahkan tembok jumud yang membelenggu, pincang, masih di takuk yang lama, masih dengan kebencian, masih dengan penghinaan, masih dengan fitnah dan masih menghukum sewenang-wenang. Itu hal yang menarik masyarakat ke bawah.
“Isu yang mendesak, sebagai contoh TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) mendesak, di Jemaah Menteri saya tugaskan (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi khusus, tumpu hampir tiap minggu bagaimana perbaiki. Alhamdulillah, kita tengok kurikulum berubah, penambahan jumlah dan beberapa keutamaan diberikan.
“Termasuk di maahad tahfiz. Ada pertikai, tetapi dia masih lagi terus hafiz, dan kita perlukan huffaz tak ada masalah, tapi masa yang sama meningkat satu bidang TVET, digital atau AI (kecerdasan buatan) yang akan meletakkan mereka itu bersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam dalam Program Soal Jawab Perdana Menteri di Putrajaya pada Rabu, yang dikelolakan empat hos iaitu Sayed Munawar Sayed Mustar (RTM), Azaria Tagaya (Media Prima), Dzulfitri Yusop (Astro AWANI), dan Pasha Rahim (Bernama TV).
Pada Mac lepas, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan menggubal Akta Gaji khusus untuk lepasan TVET dengan sasaran penggajian lebih tinggi daripada kadar gaji minimum iaitu RM4,000 ke atas.
Katanya lagi, langkah itu sedang diusahakan kerajaan seiring pengenalan Dasar TVET Negara yang akan dilancarkan pada 2 Jun depan, dengan sebuah saja pusat pengiktirafan TVET akan diwujudkan berbanding pelbagai kementerian dan agensi yang menyelia bidang TVET ketika ini.
Dalam pada itu Perdana Menteri berharap semua pihak berkepentingan dapat memainkan peranan untuk memastikan sektor kejuruteraan kembali menjadi minat belia dan pelajar.
“Jurutera kita masih kekurangan 30,000. Jadi sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mesti segera, jangan tunggu perancangan dua tahun lagi, tetapi bulan ini. Gesa anak-anak kembali untuk tambah tumpu bidang Matematik, Sains serta penguasaan Bahasa Inggeris ditingkatkan.
“Kemudian saya minta juga fakulti AI diperkenalkan. Hal ini hal baru yang harus kita sentiasa siap siaga, dan perancang kita mesti fikir tidak lagi dari kepompong yang lama. Dia mesti meneroka, alam pemikiran baharu, dan menggapai langit,” jelasnya.
#kecerdasan buatan #TVET #gaji minimum #Akta Gaji
;