Lim Guan Eng menghadap Yang Dipertua Negeri Isnin

Dewi Nur Harasha Alias
April 7, 2018 06:14 MYT
Tarikh akhir mandat DUN Pulau Pinang ialah pada 28 Jun.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng akan bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang , Tun Abdul Rahman Abbas Isnin ini untuk mendapat persetujuan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Pertemuan akan diadakan di kediaman rasmi di Seri Mutiara ,George Town pada jam 8.30 pagi dan satu pengumuman rasmi akan dibuat selepas itu.
Guan Eng berkata demikian selepas majlis Anugerah Pelajar Cemerlang STPM 2017 di Komtar pada Sabtu.
Tarikh akhir mandat DUN Pulau Pinang ialah pada 28 Jun.
Pulau Pinang diperintah Pakatan Harapan sejak 2008 dan pada pilihan raya umum lepas DAP menang 19 daripada 40 kerusi DUN manakala PKR (10), Pas (satu) dan BN (10). Bagi kerusi parlimen, DAP menguasai tujuh kerusi, PKR (tiga) dan BN (tiga).
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Parlimen dibubarkan berkuat kuasa 7 April untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-14.
#bubar #George Town #Lim Guan Eng #pulau pinang #Seri Mutiara #Tun Abdul Rahman Abbas