ISKANDAR PUTERI: Polis Johor menahan lima lelaki warga tempatan dipercayai ahli sindiket Ah Long menerusi beberapa siri serbuan yang dibuat sekitar daerah ini, pada Selasa.

Kesemua mereka, berusia 23 hingga 41 tahun, didapati bergiat aktif dalam kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen dan melakukan ugutan jenayah dan khianat ke atas mangsa-mangsa yang gagal membuat pembayaran.



Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penahanan ke atas suspek dibuat pada jam 9.30 pagi, hasil maklumat orang awam.

"Serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

"Hasil siasatan mendapati kumpulan individu ini telah giat aktif menjalankan aktiviti meminjam wang tanpa lesen sejak tiga tahun lepas.

"Dengan penangkapan lima ahli sindiket ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan 18 kes kejadian simbah cat dan ugutan jenayah di daerah Wilayah Iskandar dan Kluang. Manakala satu kes di Bercham, Ipoh, Perak."

"Sebanyak 12 telefon bimbit pelbagai jenis, 12 kad sim, enam keping kad bank, empat buah kenderaan dan sebuah komputer yang dipercayai digunakan dalam sindiket turut dirampas.

"Selain itu, pihak polis turut menemukan sekeping cek bank, 46 resit transaksi bank, serta sebuah buku catatan senarai peminjam," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.



Menurut beliau, modus operandi yang digunakan adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman di laman sosial Facebook membabitkan kadar pinjaman RM500 hingga RM30,000.

Katanya, faedah pinjaman yang dikenakan adalah sebanyak 5 hingga 20 peratus dan bayaran balik perlu dibuat secara mingguan.

"Sekiranya peminjam gagal membuat bayaran, sindiket akan melakukan ugutan bagi menakutkan peminjam dan seterusnya melakukan perbuatan khianat bagi menakutkan peminjam dan keluarga peminjam supaya membayar balik wang pinjaman dengan kadar faedah yang lebih tinggi.

"Kesemua tangkapan akan dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan tahanan reman di bawah seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan," katanya lagi.

Jelas Kamarul, kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM 250,000 dan tidak melebihi RM 1 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Tambahnya, bagi kesalahan ugutan jenayah akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 7 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang awam supaya jangan membuat pinjaman wang dengan kumpulan pinjaman wang tanpa lesen kerana faedah yang dikenakan adalah sangat tinggi dan kumpulan peminjam wang tanpa lesen ini juga akan mengugut dan menggugat kehidupan peminjam dengan cara ugutan dan khianat simbat cat.