PUTRAJAYA: Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) bertanggungjawab menguruskan antara enam hingga tujuh tan sisa domestik sehari yang dihasilkan di lima bazar Ramadan sekitar Putrajaya iaitu di Presint 3, 9, 11, 14 dan Presint 16.

Khidmat Alam Flora itu merangkumi kutipan, pembersihan dan pengasingan sisa kitar semula, termasuk pengurusan empat tong khas berkapasiti 1,000 liter (l) setiap satu bagi pengasingan sisa cecair.

Pengurus Alam Flora Putrajaya Mohamad Hafizudin Zainal mengakui terdapat peningkatan sisa domestik jika dibandingkan dengan tahun lepas, susulan pertambahan jumlah peniaga bazar tahun ini menyaksikan rekod tertinggi kutipan sisa domestik pada 24 Mac lepas iaitu sebanyak 7.5 tan.

“Apa yang extra di bazar Presint 3, kita ada pengasingan khas bagi barang kitar semula seperti kotak yang boleh kita kumpul antara 150 hingga 173 kilogram (kg) sisa sehari dan empat unit tong hitam untuk pelupusan sisa cecair seperti air balang, kuah atau sup itu boleh mencecah dua tan sehari.

“Selain menyebabkan longkang tersumbat, kita mahu peniaga memanfaatkan tong hitam untuk sisa cecair, jika tidak air yang dibuang akan mengalir ke Tasik Putrajaya dan mencemarkan tasik. Kita tidak mahu itu berlaku dan mahu mengekalkan kualiti air tasik berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Alam Flora merupakan antara syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal serta pembersihan awam di Malaysia yang bertanggungjawab memberi perkhidmatan di kawasan tengah dan pantai timur Semenanjung meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Tidak terhad kepada sisa domestik dan cecair, syarikat itu juga bertanggungjawab terhadap pengasingan sisa makanan menerusi penyediaan tong oren bagi kemudahan pengunjung di Laman Iftar yang dijalankan hasil inisiatif bersama Perbadanan Putrajaya (PPj).

“Kita labelkan tong oren berkenaan khusus untuk sisa makanan sahaja dan antara bahan yang tidak boleh dibuang ke tong ini adalah plastik, bekas polisterin, cangkerang, sisa jagung dan bahan kitar semula,” katanya.

Dianggarkan sisa makanan yang dihasilkan sehari sekitar 10 hingga 11 kg yang seterusnya akan dijadikan baja kompos.

Mohamad Hafizudin berkata Alam Flora turut menyediakan kemudahan tong roro khas untuk pelupusan sisa buah kelapa dan tebu memandangkan bahan itu tidak boleh dimasukkan dalam penyendat (compactor).

Ditanya mengenai kerjasama peniaga Bazar Ramadan Putrajaya berkenaan pengurusan sisa, beliau berkata setakat ini mereka mematuhi peraturan ditetapkan seperti mengasingkan bahan kitar semula atau memasukkan sisa tebu dalam plastik terlebih dahulu sebelum dibuang.

“Cuma pesanan kepada pengunjung, berbelanja secara berhemah dan rancang pembelian juadah berbuka puasa untuk elak pembaziran.

“Saya juga menyeru pengunjung membawa bekas sendiri untuk membeli makanan dan tidak bergantung kepada penggunaan plastik sekali guna kerana ia dapat membantu memudahkan tugas pekerja Alam Flora memandangkan pengasingan sisa sememangnya mengambil masa,” jelas beliau.

Di Bazar Ramadan Presint 3, Alam Flora menyediakan sebanyak 175 tong hijau (untuk sisa domestik) dengan kapasiti pekerja seramai 15 orang yang bertugas bermula 3 petang hingga 11 malam.

Turut disediakan perkhidmatan cucian tapak bazar. 

-- BERNAMA