MALAYSIA
Lima beradik bersatu bangunkan Akademi PROFAZZ, cipta generasi al-Quran versatil
Di sebalik dunia moden yang menilai kejayaan melalui akademik dan kerjaya, lima beradik yang kesemuanya lelaki, menongkah stereotaip dengan membuktikan mereka mampu mengimbangi duniawi dan ukhrawi. - Gambar Bernama
BANGI: Di sebalik dunia moden yang menilai kejayaan melalui akademik dan kerjaya, lima beradik yang kesemuanya lelaki, menongkah stereotaip dengan membuktikan mereka mampu mengimbangi duniawi dan ukhrawi.
Aiman Salmi, 40, seorang penasihat syariah dan perunding kewangan Islam; Dr Syamil Salmi, 39, doktor pakar mata lulusan Jordan; Dr Irfan Salmi, 38, doktor pakar bedah kolorektal lulusan Mesir; Farhan Salmi, 35, Ketua Pegawai Eksekutif PROFAZZ Holdings; serta Suhayl Salmi, 33, perunding motivasi dan konsultan pendidikan, bukan sahaja bergelar hafiz tetapi turut mengasaskan Akademi PROFAZZ, iaitu sebuah institusi pendidikan dinamik.
Diasaskan pada 2015, PROFAZZ atau "Professional Huffaz" ialah platform pengajian hafazan al-Quran dengan matlamat melahirkan generasi muda yang mampu menghafal al-Quran dan membawa nilai-nilai kitab suci itu ke dalam dunia profesional.
Kini, Akademi PROFAZZ berkembang sebagai institusi digital 100 peratus yang telah membimbing lebih 1,000 pelajar dari dalam dan luar negara seperti Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom dalam pembudayaan hafazan al-Quran secara sistematik dan berstruktur.
"Kami mahu membuktikan bahawa menjadi hafiz tidak bermakna anda mesti kekal dalam bidang agama. Bahkan, al-Quran itu boleh dibawa ke mana-mana bidang profesional, dan itu yang ingin kami sebarkan," kata Farhan yang juga Pengurus Besar Akademi, ketika ditemui Bernama di pejabatnya, di sini baru-baru ini.
ASAS KEKELUARGAAN KUKUH PACU BUDAYA AL-QURAN
Kejayaan lima beradik ini bukan berlaku begitu sahaja tanpa usaha, sebaliknya diasuh sedari kecil oleh ibu bapa - Siti Nadzrah Sheh Omar, 63 dan Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod, 63 - yang menanam budaya membaca al-Quran dalam diri mereka.
"Sejak kami bayi, ibu kami yang lebih dikenali sebagai Ummi PROFAZZ, mendedahkan kami kepada audio bacaan al-Quran. Rutin harian seperti memadamkan televisyen apabila tiba maghrib, menyemak bacaan al-Quran sebelum ke sekolah serta pemilihan institusi pendidikan berteraskan Islam menjadi amalan keluarga.
"(Namun) Tidak ada paksaan dalam hafazan. Ibu bapa kami sentiasa beri ruang dan motivasi. Menghafal al-Quran adalah satu bonus yang penting dalam pembudayaan al-Quran yang telah diterapkan sejak kami kecil," kongsi Farhan.
Menariknya, walaupun kesemua mereka memulakan hafazan ketika dalam lingkungan usia 16 tahun yang dianggap agak lewat, disebabkan pembinaan asas yang kukuh sejak kecil, mereka tidak menghadapi masalah menguasai baris-baris ayat kalam Allah SWT itu dengan si sulung menjadi pencetus semangat kepada adik-adik.
Menurut Farhan, setelah menamatkan hafazan, mereka meneruskan pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seterusnya melangkah ke pusat pendidikan tinggi dalam bidang pilihan masing-masing, sekali gus membuktikan gelaran hafiz bukan penghalang kepada kecemerlangan akademik.
"Ramai sangka bila anak masuk tahfiz, dia akan terkeluar dari arus perdana akademik. Tapi kami adalah bukti nyata bahawa itu tidak benar. Hafazan bukan mengekang, malah mendisiplinkan dan melonjakkan lagi potensi sebenar seseorang," tegasnya.
Malah, keluarga ini turut berkongsi manfaat pengalaman mereka melalui penulisan. Empat buah buku berkaitan kekeluargaan telah ditulis oleh ibu mereka. Anak-anak pula menghasilkan buku motivasi akademik dan teknik hafazan, antaranya kisah Dr Syamil yang berjaya menghafaz 30 juzuk dalam masa lima bulan serta pengalaman beliau dan Dr Irfan meraih keputusan cemerlang 15A dalam SPM.
Kini, walaupun masing-masing sibuk dengan kerjaya profesional, mereka tidak mengabaikan ikatan kekeluargaan dengan perjumpaan keluarga diadakan hampir setiap minggu.
MENJADI INSTITUSI PEMBENTUKAN KARAKTER
Berbeza dengan pusat tahfiz konvensional, PROFAZZ bertindak sebagai akademi persediaan awal yang menyasarkan pelajar sekolah rendah, remaja, dewasa serta mereka yang telah berada dalam bidang hafazan tetapi memerlukan pengukuhan dan ulang kaji secara bersistem.
"Antara punca utama ramai pelajar menghadapi kesukaran menghafaz ialah kerana bacaan al-Quran mereka belum baik, teknik hafazan yang tidak tepat, terpaksa hafaz atas tekanan serta tiada hala tuju jelas dalam proses hafazan," jelas Farhan.
Tambahnya, apabila pelajar kurang bersedia sebelum memasuki sekolah tahfiz, ia bukan sahaja membebankan institusi berkenaan malah boleh menjejaskan imej sekolah dan meningkatkan risiko masalah disiplin serta gejala buli akibat kemasukan pelajar yang tidak bersedia dari segi mental, akademik dan rohani.
Sebagai solusi, PROFAZZ menawarkan beberapa pakej berstruktur termasuk Persediaan ke Sekolah Tahfiz, Bimbingan Bacaan Quran, Ulang Hafazan Berterusan serta Kelas al-Quran untuk Semua yang terbuka kepada kanak-kanak, remaja dan dewasa daripada pelbagai latar belakang.
Mengenakan yuran serendah RM100 sebulan (4 sesi), pelajar turut menikmati pelbagai program tambahan secara percuma seperti kelas tadabbur al-Quran, motivasi hafazan serta asas bahasa Arab. Semua kelas dijalankan secara dalam talian serta sesi bersemuka satu dengan satu mengikut fleksibiliti masa pelajar dan keluarga.
Tenaga pengajar di akademi ini juga menjalani proses yang ketat sebelum diambil bekerja bagi menjamin kualiti pengajaran selain memenuhi syarat, antaranya berlatar belakang bidang pengajian agama serta hafiz 30 juzuk al-Quran.
APLIKASI PINTAR, KERJASAMA STRATEGIK DAN JEJAK GLOBAL
Sementara itu, Suhayl pula berkongsi menjelang ulang tahun ke-10, PROFAZZ kini dalam fasa pengembangan kedua dengan antara usaha utama ialah pembangunan aplikasi mudah alih yang bakal menggabungkan fungsi susun jadual hafazan, semakan audio bacaan, interaksi dengan guru dan pemantauan ibu bapa secara berpusat.
Akademi itu turut dilantik sebagai konsultan luar oleh beberapa institusi tahfiz seperti Maahad Tahfiz Al-Maghfirah di Lenggeng, Negeri Sembilan.
Mereka membantu menyemak kualiti pelajar baharu dan memberi saranan pembaikan sistem berdasarkan pengalaman membina budaya hafazan dari peringkat akar umbi, iaitu institusi keluarga.
"Kami bukan ubah sistem tahfiz, tapi kami mulakan dari unit terkecil iaitu institusi keluarga. Kalau budaya al-Quran wujud dalam rumah, lebih mudah untuk anak kekal istiqamah dalam hafazan," jelasnya yang juga anak bongsu.
Beliau turut berkongsi maklum balas alumni Akademi yang dilihat berjaya menggapai keputusan membanggakan termasuk menjuarai musabaqah al-Quran.
Selain itu, teknik pengajaran yang diaplikasikan turut menyaksikan golongan yang sudah berusia berjaya menghafaz beberapa juzuk al-Quran.
PARADIGMA BAHARU PENDIDIKAN ISLAM
Lebih dari sekadar institusi hafazan, Suhayl berkata, pihaknya membawa misi perubahan minda masyarakat bahawa hafiz bukan hanya untuk mereka yang beraspirasi menjadi ustaz. Sebaliknya, sesiapa sahaja boleh mula menghafaz dan menghayati al-Quran sebagai panduan hidup dan kerjaya.
"Bayangkan apabila seseorang pakar mata atau jurutera itu juga seorang hafiz al-Quran, nasihat mereka sebenarnya lebih menyeluruh. Mereka boleh sentuh aspek fizikal dan spiritual. Inilah suatu nilai tambah yang tiada tolok tandingnya dalam dunia hari ini," tegas Suhayl.
Beliau juga percaya bahawa apabila al-Quran menjadi tunjang dalam diri, setiap profesion yang diceburi akan memberi impak lebih besar kepada masyarakat. Justeru, mereka mengajak lebih ramai ibu bapa untuk membuka ruang kepada anak-anak menjadi insan bersepadu, iaitu seorang profesional dan juga huffaz dalam masa yang sama.
"Kami harap lebih ramai ibu bapa tidak menyempitkan pilihan anak. Biarkan anak jadi doktor, arkitek, jurutera namun dalam masa sama menjadi huffaz. Bila al-Quran hidup dalam diri mereka, insya-Allah hidup mereka juga akan membawa cahaya untuk orang lain," harap beliau.
-- BERNAMA