Lima cedera, nahas kerbau, lima kenderaan di Lebuh Raya PLUS

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 12, 2023 00:30 MYT
Lima orang cedera dalam nahas yang melibatkan seekor kerbau dan lima buah kenderaan di Kilometer 200, Lebuhraya Utara Selatan arah selatan, berhampiran Kampung Matang Pasir, Bagan Serai, awal pagi ini.
BAGAN SERAI: Lima orang cedera dalam nahas yang melibatkan seekor kerbau dan lima buah kenderaan di Kilometer 200, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Kampung Matang Pasir, di sini, awal pagi ini.
Nahas berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi terlanggar seekor kerbau yang melintas lebuh raya menyebabkan empat kenderaan lain berlanggar sesama sendiri.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mereka menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 3.52 pagi.
Menurutnya, selain Myvi, kemalangan turut melibatkan masing-masing sebuah Honda HRV, Satria Neo, Toyota Alza dan Toyota Yaris.
“Kemalangan menyebabkan berlaku kecederaan kepada beberapa pemandu dan penumpang yang menaiki kenderaan tersebut,” katanya di sini.
Menurutnya lagi, mangsa yang cedera ialah empat lelaki dewasa yang menaiki Myvi dan seorang lelaki dewasa yang menaiki Honda HRV manakala tiada kecederaan mangsa di dalam tiga lagi kenderaan.
Bagaimanapun, katanya, tiada mangsa yang tersepit dan kerbau yang terlibat mati di lokasi kemalangan.
“Mangsa yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke hospital oleh tiga buah ambulan dan semua kenderaan terlibat diuruskan oleh pihak polis dan PLUS untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Shafarie Sukri tamat jam 5.10 pagi.
#Lebuhraya Utara-Selatan #kerbau #kemalangan #Kampung Matang Pasir