[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
MALAYSIA

Lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berterusan sepanjang MTL

Bernama 08/10/2025 | 12:45 MYT
Mohd Hisham berkata pada fasa awal monsun antara November hingga Disember 2025, hujan lebat dijangka memberi kesan utama kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang. - Gambar hiasan/unsplash
KOTA BHARU: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan antara lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan berlaku sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 yang dijangka bermula awal November ini dan berterusan hingga Mac 2026.

Ketua pengarahnya Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata pada fasa awal monsun antara November hingga Disember 2025, hujan lebat dijangka memberi kesan utama kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala antara Disember 2025 hingga Januari 2026, Johor, Sabah dan Sarawak berpotensi mengalami episod hujan lebat berterusan.

Beliau berkata perkembangan itu menunjukkan pentingnya kesiapsiagaan bersepadu dan bukan sekadar bergantung pada ramalan, tetapi memastikan logistik, komunikasi, sumber serta tindakan pantas diurus dengan baik apabila bencana berlaku.

"Bagi memperkukuh pemantauan cuaca, METMalaysia kini mengendalikan 42 stesen meteorologi utama, 382 stesen cuaca automatik dan konvensional, lapan stesen udara atas, 18 stesen radar cuaca, enam stesen Wind Shear Detection System serta tiga stesen penerima satelit meteorologi.

"Jaringan sistem ini membolehkan pengesanan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang dilakukan secara masa nyata, memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi sebarang kemungkinan bencana," katanya kepada pemberita selepas Forum Iklim Kebangsaan 2025 dan Kesiapsiagaan Bencana di sini hari ini.

-- BERNAMA


#MetMalaysia #monsun timur laut #hujan lebat #stesen cuaca