[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Lima individu didenda guna dokumen palsu untuk daftar kelahiran bayi

Bernama 06/10/2025 | 11:00 MYT
Mereka didapati bersalah menggunakan dokumen palsu bagi pendaftaran kelahiran lima bayi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara 2022 hingga 2023. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Lima individu termasuk seorang wanita didenda antara RM14,000 dan RM14,500 oleh tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menggunakan dokumen palsu bagi pendaftaran kelahiran lima bayi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara 2022 hingga 2023.

Hakim Rosli Ahmad dan Suzana Hussin masing-masing menjatuhkan hukuman denda RM14,000 terhadap tiga tertuduh iaitu eksekutif operasi Er Chew Chin, 46, penarik kereta Wong Liang Fong, 40, dan pekebun Tey Tian Teck, 49, selepas mereka mengaku bersalah atas dua pertuduhan.

Sementara itu, pengurus jualan Yoong Chin Wee, 44, dan pekerja am di Singapura, Chong Yi Lin, 28, didenda RM14,500 oleh Hakim Azura Alwi selepas mereka turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan serupa.

Kesemua tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara antara sebulan hingga enam bulan sekiranya gagal membayar denda. Mereka bagaimanapun membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, kelima-lima tertuduh didakwa menggunakan borang daftar kelahiran palsu atas nama lima kanak-kanak yang mengandungi tandatangan dan cop dua doktor berbeza, serta surat pemberitahu kelahiran palsu atas nama Chong dan isteri kepada empat lelaki terbabit yang turut mengandungi tandatangan dan cop kedua-dua doktor berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat JPN di Putrajaya, antara 17 Jun 2022 hingga 10 Mei 2023, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, siasatan mendapati isteri kepada tiga tertuduh (Er, Tey dan Yoong) serta Chong tidak mempunyai rekod melahirkan anak terbabit di hospital. Sebaliknya, bayi berkenaan merupakan anak angkat mereka yang dibeli daripada ejen serta individu dengan bayaran antara RM18,000 hingga RM70,000.

Semua tertuduh menggunakan dokumen palsu itu bagi mendaftarkan bayi berkenaan sebagai anak kandung untuk mendapatkan MyKid, manakala Wong pula mendaftarkan anak tidak sah taraf sebagai anak kandung bagi tujuan sama.

Di hadapan Hakim Rosli, peniaga restoran Chee Keng Tiong, 55, pula mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan sama dan mahkamah membenarkannya diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta pasportnya perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 5 Nov ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muaz Ahmad Khairuddin dan Asmaa' Zamri serta Pegawai Pendakwa Mohd Alimi Mustapha, manakala Wong dan Chong diwakili peguam Goh Han Koon.

Pada prosiding itu, peguam Adhwa' Afiqah Mohd Azmi mewakili Tey, manakala Shenton Maniam bertindak bagi pihak Er dan Yoong.

-- BERNAMA




#lima individu didenda #guna dokumen palsu #Jabatan Pendaftaran Negara #daftar kelahiran bayi