LONDON: Lima bank tempatan – SME Bank; Hong Leong Islamic Bank; Standard Chartered Bank; Alliance Bank; dan Bank Islam Malaysia – menyediakan dana keseluruhan berjumlah RM2.67 bilion (AS$560 juta) bermula tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dana tersebut adalah bagi menyokong syarikat halal tempatan untuk membawa barangan dan perkhidmatan mereka menembusi pasaran halal global.

Beliau berkata, Kerajaan mengakui biarpun sebelum ini dana yang dibelanjakan hampir RM4 bilion untuk mempromosi usahawan dan produk tempatan, namun usaha pemasaran seolah-olah banyak tertumpu di peringkat domestik sahaja.

“Semalam saya menerobos rangkaian yang ada di United Kingdom bagi pemasaran halal, dan produk-produk lain. Pada hemat saya lima buah bank yang sediakan dana RM2.67 bilion ini, adalah satu usaha pihak berkaitan, khususnya Perdana Menteri sendiri yang sangat komited menterjemah pemasaran biayaan, bukan saja untuk domestic industry players, tapi menerobos pasaran peringkat antarabangsa.

“Ini mesti dilakukan segera, bukan hanya mahu membuat due diligence terhadap sesuatu produk, tetapi kita mempunyai perancangan bagi promosi produk halal ini, sebagai mana NIMP 2030, dan secara berkala meningkatkan usaha ini dengan lebih agresif,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Malaysia selepas merasmikan World Halal Business Conference Circuit 2023, anjuran bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan HDC, di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu beliau berkata, Halal Development Corporation (HDC) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) bakal mewujudkan kerjasama strategik, selaras dengan misi HDC untuk menjuarai ekosistem halal yang mampan.

Beliau berkata, melalui kerjasama tersebut, Malaysia dalam arah yang tepat untuk mewujudkan ekosistem dengan amalan yang beretika, serta mesra alam sekitar.

Jelas beliau lagi, kemasukan serta promosi sektor kelapa sawit serta produk huluannya dalam industri halal global yang bernilai AS$3 trilion itu, menunjukkan ia bukan semata-mata keputusan perniagaan, tetapi ia penting bagi memenuhi kehendak pengguna global yang mahukan penyumberan yang telus, mampan, dan beretika.

“Hari ini, melalui HDC, Kerajaan telah menunjukkan bahawa institusi kewangan negara kini bersedia untuk bekerjasama bagi mengukuhkan ekonomi halal negara, dengan menyediakan peluang yang lebih pantas, fleksibel, serta patuh syariah untuk pemain industri halal negara,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mengakui risiko yang mungkin menimpa industri kelapa sawit, khususnya dari pemain industri lain dari Eropah, namun beliau optimistik strategi berasaskan kepelbagaian produk dapat menangani ancaman tersebut.

Media sebelum ini melaporkan beberapa Ahli Parlimen Eropah telah mencadangkan agar dikenakan sekatan terhadap Malaysia, susulan kelantangan Kerajaan yang menyuarakan bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

“Kita harus lebih proaktif dalam mewujudkan produk akhiran (upstream), yang akan pergi kepada pengguna. Dan dalam hal ini saya fikir, bukan hanya soalan MPOCC, tetapi juga MPOB dan lain lain agensi terutamanya agensi pemasaran yang harus kita terokai bersama.

“FGV kita tahu telah disimbahkan dengan imej yang sangat negatif satu ketika dahulu, tapi dengan pengurusan baharu FELDA, dan juga pengerusinya yang baharu, serta pengerusi FGV, saya yakin, HDC dan Majlis Halal Malaysia akan menjalin kerjasama erat bagi meneroka pasaran baharu,” katanya lagi.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid berkata penganjuran WHBC kali ke-15 itu merupakan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju industri halal, bagi memacu pertumbuhan kepada tahap seterusnya.

“Di sinilah kerjasama antarabangsa dan pertukaran pengetahuan berlaku, yang dapat memacu evolusi industri halal di mana-mana sahaja. Ini bukan semata-mata fenomena tempatan, di sinilah pemain industri global berjumpa, dan berkongsi pengetahuan, serta memperkenalkan inovasi yang akan membentuk industri, serta mewujudkan akses ke pasaran baharu.

“Anggaplah WHBC ini sebagai satu pintu yang akan membuka laluan ke potensi pasaran yang tidak pernah dicapai. Di sinilah pertumbuhan, inovasi, dan kerjasama bertemu, mewujudkan pelan tindakan ke arah industri yang bernilai trilion dolar.

“Ini bukan bisnes seperti biasa, ini adalah peluang keemasan untuk mempromosi persefahaman bersama, dan berkongsi kemakmuran,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyentuh mengenai Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2023, yang bakal membawa negara mengharungi cabaran dan ketidaktentuan dalam industri berkaitan.

“Misi HIMP adalah jelas, iaitu untuk terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai penerajui industri halal global, serta memastikan sumbangan industri tersebut kepada Keluaran Dalam Negara Kasar mencapai 10.8 peratus menjelang 2030,” katanya lagi.