KUALA LUMPUR: Lima kawasan di Sarawak merekodkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 8 pagi hari ini susulan pergerakan asap jerebu daripada pelbagai arah.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan, IPD Serian mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 171, diikuti Kuching dan Samarahan masing-masing 154.
Sri Aman pula merekodkan bacaan IPU 139, manakala Bintulu 124.
Secara keseluruhan, tiga kawasan di seluruh negara mencatatkan kualiti udara pada tahap baik, 60 kawasan berada pada tahap sederhana dan lima kawasan pada tahap tidak sihat.
Menurut JAS, kualiti udara negara merosot dengan pertambahan kawasan yang merekodkan bacaan IPU tidak sihat, khususnya di Sarawak.
Berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) pada 7 Ogos, imej satelit Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) 20 mengesan 643 titik panas di Kalimantan serta 17 di Sumatera.
Sebanyak 25 titik panas turut dikesan di Malaysia, merangkumi 22 di Sarawak, dua di Selangor dan satu di Terengganu.
Peta Jerebu Serantau ASMC menunjukkan cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan selatan ASEAN, kecuali hujan terpencil di utara Sumatera dan Semenanjung Malaysia.
Titik panas dikesan secara meluas di Kalimantan Barat, manakala kepulan asap sederhana hingga tebal dilihat bergerak ke arah utara dan memasuki bahagian barat Sarawak.
Kepulan asap pada intensiti sama turut dikesan di beberapa kawasan lain di Kalimantan dan bahagian tengah Sarawak.
JAS memaklumkan, tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian telah ditingkatkan di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain pemantauan bacaan IPU dari semasa ke semasa.