Lima kes positif COVID-19 dikesan di Hospital Tung Shin, Kuala Lumpur

Astro Awani
Oktober 6, 2020 14:50 MYT
Menerusi satu kenyataan, hospital itu juga memberitahu beberapa jabatan di hospital itu terpaksa ditutup untuk disanitasi. - Gambar www.tungshin.com.my
KUALA LUMPUR : Hospital Tung Shin di Kuala Lumpur mengesahkan lima kes positif COVID-19 dikesan di hospital tersebut dan beberapa kawasan serta jabatan ditutup sementara untuk proses sanitasi, hari ini.
Dalam satu kenyataan, pengurusan hospital memaklumkan empat pesakit adalah warga tempatan manakala seorang lagi adalah warga asing.
“Empat pesakit tempatan dikesan melalui pemeriksaan prapembedahan dan seorang warga asing dikesan melalui pemeriksaan saringan praperjalanan.
"Pejabat Kesihatan Daerah telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan semua pesakit telah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lebih lanjut,” menurut kenyataan itu.
Pengurusan hospital berkata, semua kakitangan yang merawat mereka memakai peralatan perlindungan diri, kerap membersihkan diri dan menjaga penjarakan fizikal.
“Hospital Tung Shin juga telah menutup semua kawasan yang terjejas seperti Jabatan A&E, Klinik Pakar, Jabatan Pengimejan dan Wad Isolasi COVID-19 untuk pembersihan terminal.
"Operasi akan diteruskan seperti biasa esok dan hospital akan terus mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi pesakit, pengunjung, doktor dan kakitangan kami," kata kenyataan itu.
#Tung Shin #Hospital #kes positif #kes baru #KKM #Kementerian Kesihatan #kesihatan #operasi #warga asing #warganegara #tempatan #COVID-19 #Kuala Lumpur