[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Lima laporan polis berhubung paparan Jalur Gemilang tidak lengkap - Fahmi

Yasmin Natasha 20/04/2025 | 06:37 MYT
Fahmi berkata semua laporan polis itu dibuat oleh gabungan parti komponen kerajaan di Lembah Pantai. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat, membabitkan video memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di sebuah pusat pameran perdagangan produk bayi, semalam.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil, yang juga Menteri Komunikasi, berkata semua laporan polis itu dibuat oleh gabungan parti komponen kerajaan di Lembah Pantai.
Katanya, antara yang membuat laporan ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lembah Pantai, Noor Amelia Zainabila Zaiffri, yang meminta polis untuk menyiasat isu itu di bawah beberapa akta termasuk Akta Lambang dan Nama (Pencegahan Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Kawalan Paparan Lambang Kebangsaan 1949.
"Saya dimaklumkan, kejadian itu berlaku di sebuah pusat pameran perdagangan yang diuruskan oleh sebuah syarikat dan terdapat satu syarikat yang turut serta telah memaparkan Jalur Gemilang yang tidak lengkap.
"Setelah kami berbincang, rakan-rakan UMNO Lembah Pantai telah bersama-sama membuat laporan polis tengah malam tadi dan kita serahkan kepada polis untuk siasat.
"Sekiranya pihak polis mendapati ada perkara yang telah menyalahi undang-undang, maka kita mohon tindakan tegas diambil terhadap pihak berkenaan.
"Setakat ini, lima laporan telah dibuat kepada pihak polis yang merangkumi tiga laporan dibuat oleh UMNO dan dua lagi oleh PKR," katanya ketika ditemui pemberita ketika Majlis Sambutan Aidilfitri Persatuan Waris Kerinchi Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Noor Amelia berkata, laporan polis dibuat selepas dia menerima rakaman video memaparkan dekorasi imej di pentas utama pameran bayi di sebuah pusat beli-belah, memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.
Semalam, penganjur TCE Baby Expo memohon maaf berhubung insiden yang melibatkan pempamer Singapura, Singapore Lactation Bakes,
yang telah menutup gerainya dan video itu dikeluarkan selepas perkara itu diketahui.
#Jalur Gemilang #PDRM #Fahmi Fadzil #Lembah Pantai