MALAYSIA
Lima lelaki didakwa miliki 25,070 kg LPG secara haram

Seorang lelaki tempatan dan empat lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu 25,070 kg LPG secara haram pada Jumaat lepas. - Gambar Bernama
SEREMBAN: Seorang lelaki tempatan dan empat lelaki warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu 25,070 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) secara haram pada Jumaat lepas.
Bagaimanapun, hanya tertuduh Chong Ming Fei, 28, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan dibacakan, manakala tiada pengakuan direkodkan daripada empat warga Myanmar iaitu Mang Zaw, Aung, Naing dan Lim kerana mereka tidak memahami bahasa Melayu.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didapati memiliki barang kawalan berjumlah 25,070 kg LPG, iaitu 172 tong (2,408 kg) di atas treler separa, 1,083 tong (15,162 kg) di atas pelantar, 7,000 kg di dalam treler tangki dan 500 kg di dalam tangki statik.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 4 pagi di sebuah premis tanpa nombor di Jalan Tampin-Senawang, Kawasan Perindustrian Ringan Senawang di sini pada 22 Ogos lepas.Selain itu, Chong selaku pemilik tunggal syarikat ZF Victory Empire turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki 36,471 liter minyak diesel di sebuah lot tanpa nombor di Jalan Nilam 2, Kawasan Perindustrian Ringan Nilam, Rantau di sini kira-kira pukul 5 petang pada 14 Mei lepas.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Chong didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 21(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Nor Alimah Mohd Sanusi memohon jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Chong dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Chong juga perlu melapor diri di KPDN Negeri Sembilan setiap bulan sehingga kes selesai serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada empat warga Myanmar terbabit kerana mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Chong yang bekerja sebagai pekerja restoran memohon jaminan dikurangkan kerana hanya berpendapatan RM2,500 sebulan serta menanggung adik yang masih bersekolah.
Mahkamah kemudian memerintahkan Chong dikenakan jaminan RM9,000 bagi setiap pertuduhan, manakala empat warga Myanmar itu dikenakan jaminan RM15,000 seorang dengan syarat seperti ditetapkan pihak pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Okt ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami