Lima lelaki ditahan pecahkan cermin premis kedai di Alor Setar

Adie Sufian Zulkefli
Jun 26, 2020 09:17 MYT
Pihak PDRM menerima 13 laporan berhubung kejadian pecahkan cermin premis kedai sekitar Alor Setar - PDRM
Beberapa siri kejadian pecah cermin premis kedai dan bangunan di sekitar Alor Setar sejak sebulan lalu berjaya dirungkaikan dengan penangkapan lima lelaki pada Jumaat.
Dalam kejadian terbaru, sebuah premis bangunan dan pondok pengawal di Jalan Teluk Wanjah turut mempunyai kesan pecah dan berlubang menyebabkan polis terpaksa melakukan siasatan lanjut.
Berikutan itu, sepasukan anggota dari Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah turut melakukan siasatan di lokasi kejadian sebelum ini.
"Berdasarkan maklumat yang diperolehi, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar berjaya menahan lima lelaki berkenaan untuk membantu siasatan.
"Kesemua mereka ditahan jam 5 pagi Jumaat di sekitar kawasan Kuala Kedah dan mereka dipercayai terbabit dalam beberapa siri kejadian khianat dengan memecahkan cermin premis-premis sekitar kawasan bandar raya ini," katanya.
Menurut Mohd Redzuan, sehingga kini polis menerima sebanyak 13 laporan polis berkaitan kejadian ini.
Mohd Redzuan berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 20-an hingga 30 tahun dan direman empat bermula hari ini sehingga Isnin untuk membantu siasatan.
Kesemua mereka mengaku melakukan perbuatan khianat dengan melastik guli ke pintu cermin beberapa buah premis sekitar Alor Setar.
Bagaimanapun setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan.
#Alor Setar #cermin #IPK #lelaki #pecah #polis #tangkap #Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen