Tradewinds

KUALA LUMPUR: Pihak bomba mengesahkan berlakunya kebakaran di Menara Tradewinds, Jalan Raja Laut seperti yang dilaporkan orang ramai di media sosial sejurus ianya berlaku petang Rabu.

Menurut bomba lagi, lima daripada mangsa yang terperangkap di tingkat 27 bangunan tersebut berjaya menyelamatkan diri, manakala lima lagi diselamatkan bomba dari tingkat 31.


Tradewinds

“Pihak bomba menerima laporan pada pukul 4:46 petang dan jentera bomba pertama tiba adalah dari Balai Bomba Titiwangsa” kata Penguasa Bomba Farid Norizam Jafri ketika dihubungi Astro AWANI .

Sementara itu, ketika dihubungi Ketua Operasi Pegawai Kanan Bomba Cawangan Titiwangsa Imam Bukhari Susami memaklumkan sehingga pukul 10:30 malam, kebakaran masih tidak dapat dipadamkan sepenuhnya malah merebak ke tingkat lebih tinggi.

“Kebakaran telah merebak sehingga tingkat 30 dan pihak bomba juga mengalami masalah bekalan air yang menyebabkan proses pemadaman api mengambil masa lebih lama” katanya kepada Astro AWANI.

Selain itu, menurut laporan Bernama, lima mangsa yang terlibat adalah pekerja Bangladesh.

Kelima mereka nyaris maut terhidu asap tebal kerana terperangkap hampir dua jam di dalam kebakaran tersebut.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail kesemua mangsa dalam keadaan lemah namun stabil kerana agak lama terhidu asap tebal.

"Kesemua mangsa yang berusia lingkungan 20-an, terperangkap di tingkat 30 kerana berlaku kebakaran di tingkat 27 hingga 29 bangunan berkenaan. Mangsa dalam keadaan stabil namun masih lemah kerana agak lama terhidu asap tebal," katanya kepada Bernama.

Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat pemotongan saluran pendingin hawa di tingkat 27, bangunan 36 tingkat itu.

Bangunan yang terletak berhampiran Menara Tun Razak itu juga sedang mengalami proses pengubahsuaian.