Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Lima pakar bedah kardiotorasik 'Laluan Selari' daftar dengan MPM - KKM

Astro Awani 27/08/2025 | 03:10 MYT
Dr Dzulkefly berkata, pindaan terhadap Akta 50 membolehkan lebih ramai pakar dilatih melalui Laluan Selari, selari dengan pakar yang menamatkan pengajian sarjana di universiti tempatan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan lima pengamal perubatan lulusan latihan kepakaran Laluan Selari (Parallel Pathway) dalam bidang Pembedahan Kardiotorasik kini didaftarkan sebagai pakar di bawah Majlis Perubatan Malaysia (MPM).

Kesemua mereka yang berkelulusan Fellowship of the Royal College of Surgeons of Edinburgh in Cardiothoracic Surgery telah dimasukkan dalam Daftar Pakar mengikut peruntukan Seksyen 14C Akta Perubatan 1971 (Akta 50).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pendaftaran ini menandakan berakhirnya kemelut berhubung pelaksanaan latihan kepakaran Laluan Selari serta pengiktirafan kelulusan antarabangsa, khususnya dalam bidang pembedahan kardiotorasik.

“Isu pendaftaran pakar yang tertangguh sebelum ini berjaya diselesaikan susulan pindaan Akta Perubatan 1971 pada tahun 2024. Perkembangan ini dijangka meningkatkan akses rakyat kepada rawatan pakar yang berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pindaan terhadap akta berkenaan membolehkan lebih ramai pakar dilatih melalui kaedah tersebut, selari dengan pakar yang menamatkan pengajian sarjana di universiti tempatan.

Jelas beliau lagi, ia juga membolehkan pakar ditempatkan di lebih banyak fasiliti kesihatan termasuk kawasan luar bandar.

Untuk rekod, kelima-lima pakar kardiotorasik tersebut kini berkhidmat di Hospital Pulau Pinang dan Institut Jantung Negara.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata kerajaan turut memperkenalkan beberapa langkah susulan selepas pindaan akta berkenaan, termasuk pemberian elaun khas kepada pegawai perubatan yang sedang menjalani Supervised Work Experience (SWE).

"Elaun itu, dikenali sebagai Bayaran Insentif Pakar Pra-Warta (BIPPW), adalah pada kadar yang sama dengan elaun pakar berdaftar, sebagai pengiktirafan kepada peranan dan komitmen pegawai perubatan yang menjalani tempoh percubaan tersebut.

“Pelaksanaan SWE merupakan langkah penting untuk memastikan pakar yang berkhidmat adalah benar-benar berkualiti dan selamat untuk mengendalikan pesakit,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang memperincikan proses penilaian kebolehbandingan atau 'comparability evaluation' bagi pakar yang baru pulang dari luar negara, selain usaha lain bagi menambah baik pendaftaran pakar di Malaysia.

“Pindaan Akta 50 dan pelbagai usaha susulan ini membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam memperkukuh kualiti perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat,” tegasnya.








#Dzulkefly Ahmad #Pakar Bedah Kardiotorasik #Majlis Perubatan Malaysia #laluan selari #Parallel Pathway #pakar bedah