MALAYSIA
Lima pelajar MRSM direman kes buli pelajar Tingkatan Dua
Lima pelajar MRSM di Besut dibawa ke Mahkamah Kuala Terengganu bagi permohonan tahanan reman pada Jumaat. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA TERENGGANU: Lima pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut direman tiga hari bagi membantu siasatan kes buli seorang pelajar di sekolah tersebut.
Ringkasan AI
- Lima pelajar lelaki MRSM Besut berusia 15 hingga 17 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes buli terhadap seorang pelajar Tingkatan Dua.
- Mangsa mendakwa dipaksa mencangkung dengan selipar di atas kepala selama 40 minit, ditumbuk di perut dan ditampar oleh pelajar Tingkatan Tiga, menyebabkan kecederaan di beberapa bahagian badan.
- Kejadian disedari oleh warden dan mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan; kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Perintah reman bermula hari ini hingga Ahad terhadap kesemua remaja berusia 15 hingga 17 itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Yuhanis Mohd Roslan di Mahkamah Majistret di sini.
Kelima-lima pelajar itu ditahan reman bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dijalankan.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad @ Abu dalam kenyataan semalam berkata seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua di MRSM Besut mendakwa menjadi mangsa buli beberapa pelajar senior di asrama, pada 11.30 malam Selasa lepas.
Beliau berkata berdasarkan laporan dibuat mangsa, dia diarahkan duduk dalam keadaan separa mencangkung dan diletakkan selipar di kepala selama 40 minit, ditumbuk di perut dan ditampar.
Kejadian tersebut menyebabkan mangsa sakit di perut dan rusuk kanan serta lebam di belakang badan.
-- BERNAMA