Lima saintis Universiti Sains Malaysia (USM) diiktiraf sebagai Saintis Terbaik Negara (TRSM) oleh Akademi Sains Malaysia atas sumbangan yang sangat signifikan dalam bidang penyelidikan masing-masing.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan USM di sini hari ini para penerimanya termasuk pasangan suami isteri daripada Pusat Pengajian Teknologi Industri iaitu Prof Dr Othman Sulaiman dan Prof Dr Rokiah Hashim, dua pensyarah daripada Pusat Pengajian Sains Farmasi, Prof Dr Mohd Omar Ab Kadir dan Prof Dr Mohamed Azmi Ahmad Hassali serta pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral Profesor Dr Srimala Sreekantan.

Othman yang juga Dekan Institut Pengajian Siswazah berkata kejayaan itu adalah usaha semua pihak khususnya USM yang tidak pernah putus menyokong kerja keras penyelidik dalam membangunkan bidang penyelidikan.

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang sumber bio berkata banyak yang boleh diterokai dalam menjalankan kajian yang dapat meningkatkan penggunaan sumber bio untuk manfaat komuniti sekali gus menjana kekayaan negara.

Menurut kenyataan itu sehingga kini sejumlah 26 penyelidik USM telah berjaya menempatkan diri dalam kelompok TRSM.

Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata kejayaan itu adalah pengiktirafan besar kepada mereka dan USM yang tentunya akan memberikan impak terhadap usaha penyelidikan dan inovasi, seterusnya mendorong lebih banyak rekacipta untuk pembangunan akademik dan pengkomersilan pada masa hadapan.

"USM berbangga dengan kejayaan mereka serta berharap lebih ramai lagi yang akan menyertai TRSM pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata USM akan terus berusaha mewujudkan persekitaran yang diperlukan untuk pembangunan penyelidikan dan inovasi pada masa hadapan dalam usaha melahirkan lebih ramai saintis dan penyelidik muda.