KUALA LUMPUR: Lima rakyat Malaysia ditahan di Jepun selepas disyaki cuba menyeludup kokain yang disembunyikan di dalam kasut mereka melalui Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.
Menurut laporan NHK World Japan, empat daripada lima suspek mengaku terhadap dakwaan berkenaan, manakala seorang lagi menafikannya.
Polis pada Isnin memaklumkan, kesemua individu terbabit ditahan selepas dipercayai cuba memasuki Jepun dari Malaysia dengan membawa kokain yang dianggarkan bernilai AS$757,300 (kira-kira RM3.2 juta).
Pemeriksaan oleh pegawai kastam di lapangan terbang berkenaan menemukan bungkusan kokain yang disembunyikan di bawah pelapik kasut setiap suspek.
Seorang daripada suspek, Mohd Danial Farhan Abdul Rahman, dilaporkan memberitahu pihak berkuasa bahawa dia mengenali seorang individu menerusi aplikasi media sosial yang kemudian memintanya membawa dadah ke luar negara.
Menurut laporan itu, individu berkenaan didakwa menawarkan bayaran lumayan sebagai ganjaran dan menyerahkan sepasang kasut kepadanya untuk digunakan dalam perjalanan tersebut.
Sementara itu, polis Jepun dan pihak berkuasa berkaitan percaya kelima-lima suspek menerima arahan untuk membawa dadah berkenaan masuk ke negara itu.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat kemungkinan penglibatan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dalam kegiatan tersebut.