Kemalangan
Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa kereta yang menyebabkan lima orang maut setelah terbabas dan merempuh sebatang pokok di KM 141.9 Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Juru di sini malam tadi.--fotoBERNAMA (2014) HAKCIPTA TERPELIHARA

JURU: Lima remaja lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan di kilometer 141.9 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran kawasan rehat dan rawat Juru, Pulau Pinang kira-kira jam 10 malam tadi.

Dalam kejadian itu, kereta jenis Hyundai yang dinaiki lima sahabat itu remuk teruk selepas terbabas dan merempuh beberapa batang pokok mengakibatkan dua mangsa tersepit dan tiga yang lain tercampak keluar.


Mangsa yang maut, dikenali sebagai Mar Jing Quan 18 tahun dan tiga lagi rakannya Tan Chee Win, Song Jing Ping, Chye Zhi Fei masing-masing berumur 17 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Manakala seorang lagi remaja yang belum dikenalpasti identitinya turut meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital seberang jaya, akibat kecederaan parah dikepala.

Kesemua mereka berasal dari Sungai Bakap, dalam perjalanan dari arah Juru menuju ke selatan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar beberapa batang pokok di tepi jalan berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Norizal Md Rabani memaklumkan pihak bomba menerima panggilan pada jam 10.03 minit malam dan terus bergegas ke tempat kejadian.

Norizal berkata, sebaik anggota bomba tiba kira-kira 4 minit kemudian , mereka mendapati dua mangsa tersepit di dalam kereta jenis Hyundai yang remuk teruk manakala tiga lagi mangsa tercampak keluar.
Pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Azman Abd Lah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Ujarnya, berdasarkan keadaan fizikal kereta yang remuk teruk, pihaknya tidak menolak kemungkinan kenderaan yang dinaiki lima remaja terbabit di pandu laju sehingga menyebabkanya hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh pokok.

Kesemua mayat di bawa ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang untuk bedah siasat.