Lima suspek kes bunuh dan bakar wanita dibebas dengan jaminan polis

Bernama
Jun 14, 2022 11:21 MYT
Mayat wanita berusia 21 tahun dipercayai dibunuh itu ditemukan dalam keadaan terbakar pada 3.05 petang, 31 Mei lepas. - Gambar fail
IPOH: Lima suspek kes wanita yang dibunuh dan dibakar di kawasan tepi sungai di Kampung Talang Hulu dekat Simpang Lawin, Kuala Kangsar, akhir bulan lepas (Mei) dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata kesemua suspek termasuk teman lelaki mangsa dibebaskan dari lokap sementara pihaknya menjalankan siasatan lanjut.
"Pihak polis telah merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan kami akan meneruskan siasatan sebelum suspek dituduh di mahkamah," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sebelum ini, empat lelaki berusia 20 hingga 22 tahun ditahan selepas polis menahan teman lelaki mangsa berusia 20 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mayat wanita berusia 21 tahun dipercayai dibunuh itu ditemukan dalam keadaan terbakar pada 3.05 petang, 31 Mei lepas.
BACA: Mayat tanpa identiti ditemukan dalam keadaan terbakar di tepi sungai
BACA: Wanita ditemukan mati dibunuh, dibakar tidak hamil - Polis
Polis turut menemukan seketul batu konkrit yang mempunyai kesan darah berhampiran mayat itu yang dipercayai digunakan untuk mencederakan kepala mangsa.
Hasil bedah siasat di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar mendapati punca kematian mangsa adalah akibat hentakan di kepala dengan kesan melecur yang teruk.
-- BERNAMA
#bunuh bakar #Kuala Kangsar #teman wanita #bedah siasat