MALAYSIA

LINDUNG Kendiri: Penyertaan sektor seni masih rendah - Sim

Bernama 08/12/2025 | 14:56 MYT
Steven Sim (tengah) hadir menyaksikan pementasan 'Muzikalisasi Lindung - Hati Nan Prihatin' anjuran bersama Perkeso, Persatuan Profesional Filem Malaysia di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, malam ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Biarpun lebih 860,000 individu bekerja sendiri kini mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri), sektor seni kekal sebagai kumpulan dengan liputan perlindungan sosial terendah, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Beliau berkata setakat bulan lepas, sebanyak 860,016 pencarum bekerja sendiri telah berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), meliputi sektor seperti pengangkutan barangan, perkhidmatan penghantaran makanan dan penumpang serta penjaja.

Namun, hanya 9,660 daripada jumlah itu datang daripada sektor seni, iaitu angka yang bersamaan hanya 1.12 peratus daripada keseluruhan pencarum bekerja sendiri.

"Oleh itu, kita akan menggandakan usaha dan memperluas hebahan mengenai peruntukan caruman padanan, khususnya dalam kalangan penggiat seni kerana mereka juga terdedah kepada pelbagai risiko pekerjaan luar jangka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Muzikalisasi LINDUNG: Hati Nan Prihatin, anjuran PERKESO bersama dengan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini malam ini.

Sim berkata usaha meningkatkan penyertaan sektor seni perlu dipergiatkan melalui pendekatan caruman padanan, dengan kerajaan memperuntukkan subsidi hingga 70 peratus bagi caruman LINDUNG Kendiri dalam Belanjawan 2026, termasuk untuk sektor yang belum diwajibkan.

Beliau berkata PERKESO telah menyalurkan manfaat kepada 6,815 pencarum LINDUNG Kendiri antara Januari hingga Oktober tahun ini, dengan jumlah pembayaran mencecah RM25.9 juta.

Beliau berkata tumpuan PERKESO kini ialah meningkatkan kefahaman dan penyertaan dalam industri seni, yang sering beroperasi secara bebas tanpa majikan tetap, menjadikan mereka antara kumpulan paling terdedah kepada risiko kehilangan pendapatan akibat kecederaan, kemalangan atau ketidakupayaan bekerja.

Program Muzikalisasi LINDUNG: Hati Nan Prihatin adalah antara platform kesedaran untuk meningkatkan pemahaman masyarakat tentang kepentingan perlindungan sosial bagi individu yang bekerja sendiri.

-- BERNAMA




#LINDUNG Kendiri #pencarum #perlindungan sosial #Steven Sim #sektor seni #perkeso