Skip to main content

Malaysia

Lintas hormat enam Sukhoi antara tarikan Hari Kebangsaan di Melaka

81716716030_TBSukhoi.jpg
Enam pesawat pejuang Sukhoi akan membuat lintas hormat sempena Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Melaka di Dataran 1Malaysia, Klebang tahun ini. - Gambar fail
Advertisement

MELAKA: Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Melaka di Dataran 1Malaysia, Klebang tahun ini dijangka lebih meriah, apabila rakyat berpeluang menyaksikan pelbagai aset dan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk lintas hormat enam pesawat pejuang Sukhoi.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata rakyat juga berpeluang menyaksikan tiga aset kapal pengangkutan udara Airbus, yang akan melakukan lintasan di ruang udara Melaka.

Beliau berkata selain itu terdapat juga enam aset kapal perang yang disediakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk dikunjungi orang ramai, sebagai peluang pembelajaran dan mengenali dengan lebih dekat keupayaan pasukan pertahanan negara.

“Kita mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia serta Angakatan Tentera Malaysia secara keseluruhannya, kerana telah memberikan lintas hormat enam buah pesawat Sukhoi tempur yang cukup mengagumkan, selain tiga aset kapal pengangkutan udara Airbus.

“Kerjasama ini telah memberi peluang kepada rakyat Melaka untuk menyaksikan kebolehan dan keupayaan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai penuh sambutan itu di Dataran 1Malaysia, Klebang di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai persiapan menjelang hari sambutan pada 31 Ogos tersebut, Ab Rauf berkata beliau berpuas hati berdasarkan persembahan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan semua pihak termasuk ATM dalam raptai penuh berkenaan. 

Beliau berkata secara keseluruhan sebanyak 158 kontinjen dengan 8,531 anggota menyertai perbarisan dan perarakan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, manakala 11 kereta berhias dan 21 pelbagai kenderaan dengan 627 anggota turut memeriahkan sambutan kali ini dengan jangkaan pengunjung melebihi 50,000 orang.

Ab Rauf berkata 15 lokasi pelancongan di seluruh Melaka, akan menawarkan kemasukan percuma kepada orang ramai pada 31 Ogos.

Beliau berkata tawaran itu merupakan antara keistimewaan yang disediakan kerajaan negeri bersempena dengan Hari Kebangsaan, sekali gus memberi peluang kepada rakyat untuk menikmati pelbagai tarikan yang terdapat di negeri berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement