BAYAN BARU: Kolaborasi rentas Kementerian dan agensi perlu digandakan lagi seiring usaha merangsang ekosistem teknologi dan inovasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerjasama yang terjalin erat ketika ini perlu diperkukuh demi kemakmuran negara dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Kerajaan telah merangka ekosistem pendigitalan untuk mencetuskan inovasi-inovasi yang baharu melalui inisiatif MyDigital, yang mencakupi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital, dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR).

“Dasar-dasar ini akan melengkapkan rakyat dengan pengetahuan dan set kemahiran berkaitan.

"Ia akan membentuk negara mempunyai kesalinghubungan melalui pembangunan infrastruktur digital; menyediakan peraturan sesuai keperluan masa dan fleksibel dengan perubahan teknologi serta mempercepat inovasi.

“Inisiatif MyDIGITAL juga menyokong dasar pembangunan negara khususnya Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), bagi mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan, selain sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia (WCIT) 2022 di Pusat Konvensyen Setia Spice, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata dunia kini berhadapan tiga krisis yang teruk dan bertindih kesan daripada pandemik COVID-19, konflik Rusia dan Ukraine, serta krisis makanan yang semakin meningkat.

Justeru, beliau berpandangan teknologi digital berperanan penting dalam menangani isu perubahan iklim selaras dengan yang dilaporkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di mana pemerkasaan teknologi digital dapat mengurangkan 15 peratus pelepasan gas rumah hijau menjelang 2030.

Katanya, digitalisasi adalah inisiatif terkini yang diguna pakai dalam pelbagai aspek kehidupan dan boleh melihat pelbagai trend semasa yang sedang berkembang.

“Pertama, teknologi digital amat penting bagi menjamin kelangsungan dan produktiviti sesebuah perniagaan, sepertimana yang berlaku ketika penularan COVID-19.

“Hal ini dibuktikan apabila sekecil-kecil perniagaan, sehinggalah kepada syarikat besar berimpak tinggi mengapdatasi aplikasi digital dalam memajukan perniagaan mereka.

“Kedua, keperluan memperkasakan teknologi digital bagi menangani isu sekuriti makanan negara dan tenaga.

“Sebagai contoh, pertanian pintar teknologi digital berupaya mengurangkan penggunaan buruh, mesra alam dan meningkatkan produktiviti, sekali gus menjamin rantaian bekalan makanan global yang mampan.

“Ketiga, pandemik COVID-19 telah menjadi pendorong utama bidang teknologi digital dalam penjagaan kesihatan.

“Hari ini terbukti, penggunaannya bukan sahaja mampu membendung penularan wabak COVID bahkan berupaya meningkatkan akses kepada kesedaran penyakit-penyakit lain serta risikonya termasuk kesihatan mental,” katanya.

Menurutnya, kerajaan berharap agar WCIT 2022 dapat melakar sejarah baharu dalam menarik lebih banyak pelaburan digital asing, sebagai usaha memacu sektor teknologi dan inovasi.

Pada masa sama, beliau turut berharap agar platform tersebut digunakan sebaik-baiknya dalam membincang, mengilham serta mencetuskan idea baharu dalam perkembangan teknologi dan inovasi negara ke persada antarabangsa.

WCIT 2022 yang disifatkan sebagai temasya ‘Olimpik’ bagi pemain industri teknologi dan inovasi berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Lebih 4,000 delegasi dari lebih 60 negara telah mengesahkan kehadiran mereka bagi mengikuti persidangan secara hibrid ini.