Lipis pula dilanda banjir, 7 mangsa ditempatkan di PPS

Norfarhiza Mohd Atar
Oktober 23, 2022 10:55 MYT
Kediaman penduduk di Kampung Beletik, Mukim Telang di sini telah dinaiki air tengah hari tadi. - Sumber foto JBPM
LIPIS: Selepas Raub, Lipis menjadi daerah kedua di Pahang dilanda banjir susulan peningkatan paras air akibat limpahan daripada Sungai Telang di sini, pada Ahad.
Sehubungan itu, tujuh mangsa daripada tiga keluarga dari Kampung Beletik, Mukim Telang di sini telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di Masjid Kampung Beletik.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lipis, Kapten(PA) Mohd Nor Azhar Yusof berkata, peningkatan paras air itu telah mengakibatkan rumah penduduk di kawasan terbabit dinaiki air.
"Kesemua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita termasuk dua warga emas telah ditempatkan di PPS yang dibuka pada jam 3.07 petang tadi.
"Pihak APM juga telah membuat pemantauan di kawasan-kawasan banjir yang terputus hubungan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya di sini, pada Ahad.
Kediaman penduduk di Kampung Beletik, Mukim Telang di sini telah dinaiki air tengah hari tadi.
Peningkatan paras air akibat limpahan daripada Sungai Telang telah menyebabkan rumah penduduk di kawasan Kampung Beletik, Mukim Telang dinaiki air.
#Banjir Lipis #Pusat Pemindahan Sementara Lipis #APM Daerah Lipis #PRU15