IPOH: Status liputan 4G di Perak setakat suku kedua tahun ini mencapai 97.38 peratus, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Mohd Azlan Helmi.

Mohd Azlan berkata bagi status pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Perak bagi tempoh sama pula menyaksikan pencapaian 92 daripada 206 menara baharu yang dirancang, telah siap beroperasi manakala 321,620 daripada 386,758 premis yang dirancang telah tersedia dengan sambungan gentian optik berkeupayaan gigabit.

Pada masa sama, katanya kesemua 73 lokasi yang dirancang telah tersedia dengan perkhidmatan jalur lebar satelit ataupun Akses Tanpa Wayar Jalur Lebar (BWA) iaitu pencapaian 100 peratus.

"Kesemua perancangan yang dinyatakan di atas dijangka siap secara berperingkat menjelang penghujung tahun 2025," katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) berkenaan status pelaksanaan program JENDELA melibatkan penyediaan kemudahan rangkaian untuk liputan 4G di Perak, usaha kerajaan negeri untuk mempercepat pelaksanaan 5G dan perancangan penggunaan lampu smart street pole di Daerah Kinta.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata kerajaan negeri terus komited dan berusaha mempercepatkan perluasan liputan rangkaian 5G bagi menyempurnakan kesalinghubungan Internet, sekali gus memastikan kesemua lapisan masyarakat dapat menikmati jaringan komunikasi yang lebih baik.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah menubuhkan pasukan petugas khas atau Jawatankuasa Taskforce 5G Greater Ipoh yang dianggotai pelbagai agensi teknikal antaranya beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) terpilih, Digital Nasional Berhad (DNB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

"Antara pendekatan yang diambil termasuk mencadangkan prosedur-prosedur kerja yang lebih cepat, menyemak semula senarai semak dan membuat perancangan pelaksanaan yang teratur dan sistematik.

"Kerajaan negeri melalui PBT berkaitan telah melaksanakan program penggantian lampu jalan kepada smart pole dalam usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan dan memberi liputan telekomunikasi di dalam kawasan khususnya yang berpenduduk padat," katanya.

Selain itu, Mohd Azlan berkata Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membuka peluang dan amat menggalakkan pelaksanaan pemasangan tiang-tiang lampu berintegrasi sistem pemancar telekomunikasi ataupun smart pole kepada syarikat-syarikat swasta.

Katanya setakat ini, terdapat 34 tiang lampu smart pole dibina di sekitar bandar raya Ipoh dan sebanyak 172 lokasi tapak telah diberi kelulusan, manakala sebanyak 29 struktur smart pole telah dilaksanakan di bawah pentadbiran MBI sehingga Jun lepas.

"Bilangan tiang lampu smart pole ini bergantung kepada kelulusan Digital Nasional Berhad sebagai penyelaras 5G dan permintaan syarikat-syarikat telekomunikasi," katanya.

-- BERNAMA