MALAYSIA

Liputan seimbang dan jujur mengenai Rusia di Astro AWANI dihargai

Azlinariah Abdullah 01/11/2025 | 02:10 MYT
Sebahagian peserta Honest View 2025 Media Award yang dirai dalam satu majlis penghargaan di Mercury Space, Moscow, Rusia baru-baru ini. - Astro AWANI
MOSCOW: Liputan berita, artikel dan tulisan jujur serta tidak berat sebelah mengenai Rusia yang tersiar di Astro AWANI mendapat penghargaan negara itu di Honest View 2025 Media Award, berlangsung di Moscow, Rusia.


Ringkasan AI
  • Azlinariah Abdullah dari Astro AWANI dihargai di Honest View 2025 Media Award di Moscow atas liputan jujur dan seimbang mengenai Rusia.
  • Tulisan beliau menarik perhatian Rumah Rusia, termasuk artikel budaya dan temu bual bersama sarjana Rusia sempena Hari Kebangsaan Malaysia.
  • Seramai 53 wartawan dari seluruh dunia dirai, termasuk wakil pertama dari Malaysia, Vietnam, Mesir, Nepal dan Itali dalam majlis anugerah tahunan itu.


Ia adalah hasil kerja Editor dan Penerbit Astro AWANI, Azlinariah Abdullah sepanjang tahun lalu yang antara lain menghasilkan tulisan seperti 'Berita di Astro AWANI jadi rujukan di Rusia'; 'Pusat Bahasa Rusia di Malaysia tarik minat pelajar serantau'; 'Naskhah terjemahan mampu tampung karya agung dunia'; dan 'Lebih ramai warga Rusia minat Bahasa Melayu' serta temu bual di AWANI Pagi bersama Sarjana Rusia, Viktor Pogadaev sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-68 iaitu Merdeka Rasa Melalui Bahasa.

Tulisan dan liputan itu mendapat perhatian Rumah Rusia (Russian House) di Kuala Lumpur dan mencalonkannya untuk dihargai pada majlis makan malam Honest View 2025 Media Award kali keempat, yang turut diadakan sempena 100 tahun diplomasi awam di Rusia yang disambut pada 26 Oktober.

"Karya-karya yang dihargai ialah projek untuk media antarabangsa "Honest View" dalam usaha mengenal pasti, meningkatkan populariti serta mempromosikan pengalaman terbaik wartawan dalam membuat liputan mengenai aktiviti budaya, pendidikan, belia dan sains Rusia di luar negara," kata Evgeny Primakov, Ketua Rossotrudnichestvo,yang menjadi penganjur utama acara berkenaan.

Beliau menambah, ketika mana Rusia masih lagi berdepan sikap pilih kasih media antarabangsa disebabkan perkembangan semasa antaranya disumbang oleh perang di Ukraine, majlis penhargaan itu diadakan bagi meraikan mereka yang berani dalam membuat serta menyiarkan berita yang adil serta jujur tentang Rusia, negara terbesar di dunia.

"Pada hari ini, ketika Rusia masih lagi berperang, hanya yang berani sahaja mahu memberikan pandangan jujur kerana tindakan berani ini sudah pasti akan mendedahkan akibat kepada wartawan itu sendiri. Mereka yang tidak berani,kita tidak panggilnya sebagai wartawan. Maka, hari ini, kita menghargai mereka yang berani dan mereka yang mempunyai pandangan jujur," katanya semasa berucap di majlis tersebut.

Seramai 53 wartawan dan blogger dari seluruh dunia dirai dalam Honest View 2025 Media Award, di mana mereka turut diundang membuat liputan mengenai Persidangan dan Forum Kerjasama Antarabangsa yang membincangkan mengenai pelbagai isu media konvensional dan media baharu, dunia kewartawanan, konflik media dan kecerdasan buatan (AI) serta masa depan media antarabangsa.

Ini merupakan kali keempat Honest View Media Award diadakan di Moscow, di mana asalnya pada 2022, ia disertai oleh hanya wartawan dari Uzbekistan, Montenegro, Tajikistan, Belarus dan Iran.

Honest View Media Award kemudiannya berkembang dengan lebih banyak hasil kerja wartawan dihargai termasuk pada 2023 iaitu daripada Argentina, Jerman, India, Sepanyol, Kanada, China, Norway, Romania, Serbia, Slovakia, Turki dan 19 buah negara Afrika.

Semasa Honest View 2025 Media Award, selain Malaysia, turut dihargai buat pertama kali ialah wartawan dari Vietnam, Mesir, Nepal dan Itali.

Kesemua mereka yang dirai diberikan sijil penghargaan.

Selain Rossotrudnichestvo,pertubuhan kerjasama kemanusiaan antarabangsa yang menjadi penganjur utama, Honest View 2025 Media Award turut dikendalikan oleh Agensi Persekutuan Hal Ehwal Bebas Dalaman untuk Komanwel dan Agensi Komunikasi AGT.

Manakala rakan media strategik untuk acara itu termasuk Rusia Today (RT), Kesatuan Wartawan Rusia (RUJ), agensi berita dan video Ruptly GmbH dan agensi berita Rusia ( TACC).





#Honest View 2025 Media Award #liputan berita #Rumah Rusia #media antarabangsa