Litar terpelantik berganda punca bekalan elektrik terputus di Sarawak

Bernama
Julai 11, 2021 00:53 MYT
Litar terpelantik berganda pada talian penghantaran Murum 275kV menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa bahagian di Sarawak kira-kira 9.30 malam tadi, umum Sarawak Energy Berhad dalam kenyataan hari ini. -Gambar fail
KUCHING: Litar terpelantik berganda pada talian penghantaran Murum 275kV menyebabkan gangguan bekalan elektrik di beberapa bahagian di Sarawak kira-kira 9.30 malam tadi.
Sarawak Energy Berhad dalam kenyataan memaklumkan kawasan utama yang terjejas ialah Kuching, Sri Aman, Sarikei, Mukah, Sibu, Bintulu dan sebahagian Miri.
Menurutnya, kerja-kerja pemulihan dilakukan segera dengan bekalan elektrik dipulihkan di kawasan terjejas secara berperingkat dan hampir semuanya kembali pulih pada 10.30 malam.
"Sarawak Energy memohon maaf kepada pelanggan yang terjejas atas kesulitan yang berlaku disebabkan bekalan elektrik terputus dan kami sedang menyiasat punca ia berlaku," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#litar terpelantik #gangguan #bekalan elektrik #Sarawak #Kuching #Miri #Bintulu #Sibu #talian penghantaran Murum #Sarawak Energy Berhad