MALAYSIA

Literasi statistik meningkat, rakyat semakin selesa dengan data - DOSM

Bernama 20/10/2025 | 15:30 MYT
DOSM memaklumkan data kini memainkan penting bukan sahaja pada peringkat kerajaan dalam penyediaan bajet dan penggubalan dasar awam, malah turut menjadi elemen utama sektor perniagaan, akademia serta pelajar. - Gambar fail/Bernama
KUANTAN: Usaha memperkukuh literasi statistik dalam kalangan rakyat kini membuahkan hasil menerusi lonjakan lebih 11 juta paparan di platform OpenDOSM, membuktikan masyarakat semakin selesa menggunakan data rasmi dalam kehidupan harian, menggantikan andaian dengan bukti berasaskan angka.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan memaklumkan sehingga 14 Okt, portal itu mencatatkan lebih 11.7 juta paparan dengan purata harian sebanyak 13,600 paparan manakala penerbitan dan set data dimuat turun secara konsisten dengan jumlah masing-masing mencecah 204,000 dan 233,000.

"Angka ini membuktikan peningkatan ketara dalam penggunaan statistik rasmi oleh pelbagai pihak bagi tujuan membuat keputusan berasaskan bukti, penyelidikan serta penciptaan inovasi sosial.

"Fenomena ini menunjukkan rakyat Malaysia kini semakin bergantung kepada data sahih dalam menjalani kehidupan harian dan membentuk masa depan negara berasaskan maklumat," menurut kenyataan yang dikeluarkan sempena sambutan Hari Statistik Negara dan Sedunia 2025 (HSN).

DOSM memaklumkan data kini memainkan penting bukan sahaja pada peringkat kerajaan dalam penyediaan bajet dan penggubalan dasar awam, malah turut menjadi elemen utama sektor perniagaan, akademia serta pelajar.

"Sektor perniagaan semakin bergantung kepada data seperti harga pasaran dan tenaga kerja bagi merancang strategi dan mengurangkan risiko kerugian. Dalam kalangan akademia dan pelajar, data dimanfaatkan sebagai 'makmal hidup' bagi memperkaya pembelajaran serta penyelidikan.

"Masyarakat umum juga semakin celik statistik apabila menjadikan data sebagai alat memahami isu dan realiti sosial," menurut kenyataan itu.

Sambutan HSN 2025 yang berlangsung di Lipis, Pahang dari 17 hingga 19 Okt dengan tema "Statistik Nadi Kehidupan" dirasmikan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

DOSM memaklumkan sambutan HSN lebih bermakna kerana bertepatan Hari Statistik Sedunia yang diraikan setiap lima tahun pada 20 Okt seperti diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2010.

Tema global Hari Statistik Sedunia 2025 adalah "Statistik dan Data Berkualiti untuk Semua" dengan slogan "Memacu Perubahan dengan Statisik dan Data Berkualiti untuk Semua", selari dengan usaha memperkukuh sistem statistik yang berkualiti, inklusif dan berimpak tinggi demi kesejahteraan rakyat.

"HSN kini menjadi simbol 'data turun padang', selaras dengan saranan Perdana Menteri agar data granular peringkat daerah dimanfaatkan untuk membentuk dasar yang lebih bersasar serta menyokong komuniti setempat.

"DOSM turut memberi penekanan kepada ekuiti data dengan memastikan masyarakat luar bandar dan FELDA (Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan) mendapat akses kepada maklumat rasmi negara. Budaya data ini terus disemai melalui pelbagai inisiatif seperti debat statistik, pengucapan awam dan datathon belia," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN 2025, negara akan menganjurkan dan mempengerusikan Sidang ke-15 Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS15) dan Forum Statistik ASEAN 2025 pertama dari 3 hingga 7 Nov di Melaka.

"Perhimpunan serantau ini akan menjadi platform utama untuk memperkukuh kerjasama statistik, mempromosikan data berkualiti dan memacu integrasi serantau demi mencapai Komuniti ASEAN yang lebih mampan serta inklusif," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA




#ASEAN #DoSM #platform utama #debat statistik