KUALA LUMPUR: Pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) adalah kurang memuaskan, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.

Menurut laporan itu, terdapat kelemahan dalam penyediaan dasar berkenaan sukatan senjata api dan amunisi serta berlaku kes kehilangan senjata api milik jabatan dan agensi di bawah KDN.

Juga berlaku kelemahan tindakan penguatkuasaan Akta Senjata 1960 bagi pembaharuan lesen senjata api yang boleh menjejaskan kawalan senjata api oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain kelemahan pengurusan pelupusan senjata api boleh menimbulkan risiko keselamatan.

"Perjanjian bagi kontrak pelupusan ke atas pelbagai jenis senjata lama dan lusuh berserta aksesori milik PDRM telah ditandatangani antara KDN dengan Syarikat X pada 1 Okt 2012 dengan tempoh perjanjian hingga 30 Sept 2014.

"Fasal lima perjanjian menyatakan nilai perjanjian tidak kurang daripada RM7.50 juta, merujuk kepada Surat Setuju Terima (SST) bertarikh 7 Sept 2012, syarikat berkenaan akan membekalkan senjata berserta aksesori dan mengadakan latihan selama dua hari sebagai gantian pelupusan pelbagai jenis senjata tersebut," menurut laporan itu yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

Laporan itu memaklumkan semakan audit mendapati PDRM telah menyerahkan pelbagai jenis senjata lama dan lusuh berserta aksesori secara berperingkat antara 5 Okt 2012 hingga 11 Nov 2014, bagaimanapun pada Oktober 2014 syarikat berkenaan hanya menyerahkan aksesori bernilai RM1.16 juta kepada PDRM.

"Semakan audit mendapati tiada tindakan susulan diambil oleh KDN terhadap syarikat berkenaan bagi memastikan ia memenuhi obligasi kontrak yang seterusnya menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan berjumlah RM6.34 juta," menurut laporan itu.

KDN dalam maklum balasnya terhadap perkara itu memberitahu telah mengemukakan surat kepada syarikat berkenaan pada Jun lepas menuntut agar obligasi kontrak tersebut dipenuhi segera dan jika gagal tindakan undang-undang akan diambil.

"KDN telah menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman untuk mendapatkan maklumat terperinci dan mencadangkan tindakan sewajarnya kepada pihak terlibat selain akan membuat perolehan secara tender terbuka dan tidak akan melaksanakan perolehan senjata api secara perdagangan tukar barang," menurut laporan berkenaan.

Menurut laporan itu lagi, perolehan yang tidak diurus dengan cekap menyebabkan PDRM tidak mendapat bekalan senjata api yang sepatutnya dan kerajaan akan menanggung kerugian sekiranya tindakan lebih tegas tidak diambil bagi memastikan syarikat memenuhi obligasi kontrak.

Pihak audit mengesyorkan supaya KDN dan PDRM memastikan syarat kontrak dipatuhi sepenuhnya supaya kerajaan memperoleh nilai terbaik bagi setiap perolehan yang dibuat, selain KDN dan PDRM juga hendaklah mengkaji dari aspek perundangan tindakan yang boleh diambil sekiranya syarikat gagal memenuhi obligasi kontrak.

-- BERNAMA