[TERKINI] PM Anwar Umum Penghargaan Luar Biasa kepada Rakyat, 10.30 Pagi Esok – Info Terkini Di Sini
MALAYSIA

LKAN 2/2025: Kaedah Pre-Q Terpilih tidak efisien, wajar dihentikan

Madiha Abdullah 21/07/2025 | 08:00 MYT
Laporan audit mencadangkan agar kaedah Pre-Q Terpilih dihentikan sepenuhnya dan digantikan dengan tender terbuka.
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kaedah Perolehan Tender Terbuka Pre-Kelayakan Terpilih (Pre-Q Terpilih) di tiga kementerian disifatkan tidak mencapai matlamat asalnya dan wajar dihentikan.


Ringkasan AI
  • Kaedah Pre-Q Terpilih disifatkan tidak berkesan dengan pelaksanaan di PETRA, KKR dan KKDW gagal capai matlamat asal, serta menimbulkan isu ketelusan, daya saing dan kelewatan proses (hingga 553 hari).
  • Audit kesan kelemahan ketara di JKR Sabah, termasuk pemilihan syarikat secara terhad dan tiada pangkalan data syarikat berprestasi yang menyekat persaingan dan beri ruang manipulasi.
  • Cadangan penambahbaikan atau penggantian kepada tender terbuka, termasuk garis panduan jelas, integrasi sistem dengan CIDB dan penilaian teknikal-kewangan yang lebih sistematik atau kekal guna Pre-Q hanya untuk projek berskala besar/berimpak tinggi.


Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang dibentangkan hari ini mendedahkan kaedah yang diguna pakai oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu pada asalnya bertujuan mempercepat proses perolehan projek, namun sebaliknya telah mewujudkan kelemahan dari segi ketelusan dan persaingan.

"Selain itu daya saing pasaran berkurangan disebabkan kementerian atau jabatan yang terlibat tidak mempunyai pangkalan data berkaitan senarai syarikat yang berwibawa dan berprestasi tinggi serta pernah menerima kontrak kementerian atau jabatan.

“Kaedah Perolehan Pre-Q Terpilih tidak menetapkan tempoh maksimum bagi proses pelawaan peringkat kedua dan tempoh keseluruhan perolehan, tetapi hanya menetapkan tempoh minimum sehingga menyebabkan proses perolehan mengambil masa yang panjang sekitar 152 hingga 553 hari,” laporan itu menyebut.

Di Kementerian Kerja Raya, khususnya di Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, audit mendapati hanya syarikat tertentu dipilih menyertai tender, mewujudkan ruang manipulasi dan menyekat daya saing. Ketiadaan pangkalan data syarikat berprestasi dan kriteria saringan yang tidak menyeluruh turut menjadi punca kelemahan pelaksanaan.

Sehubungan itu, audit mencadangkan agar kaedah Pre-Q Terpilih dihentikan sepenuhnya dan digantikan dengan tender terbuka bagi menjamin ketelusan, akauntabiliti dan kecekapan pentadbiran perolehan.

Bagaimanapun, sekiranya masih mahu diteruskan, kaedah ini perlu disempurnakan dan hanya digunakan bagi projek berskala besar atau berimpak tinggi yang memerlukan penilaian teknikal dan kewangan secara menyeluruh di peringkat awal.

Laporan turut mengesyorkan beberapa langkah penambahbaikan termasuk menetapkan garis panduan projek yang layak menggunakan kaedah Pre-Q; memperjelas kriteria saringan mengikut kategori projek; mengintegrasi sistem saringan kementerian dengan pangkalan data agensi seperti CIDB, serta menyelaraskan prosedur penilaian teknikal serta kewangan dengan lebih sistematik.



#Laporan Ketua Audit Negara #kementerian #KKR #Petra #Sabah #KKDW