KUALA LUMPUR: Analisis audit terhadap lima agensi Persekutuan yang mempunyai pelaburan tertinggi dalam syarikat subsidiari mendapati 66 syarikat subsidiari mencatatkan keuntungan berjumlah RM3.886 bilion pada 2024.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, syarikat subsidiari itu adalah yang berada di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)(KWAP).
Advertisement
Sebanyak 35 syarikat subsidiari KWSP mencatatkan keuntungan berjumlah RM2.412 bilion, diikuti tujuh syarikat subsidiari LTAT (RM570 juta), enam syarikat subsidiari FELDA (RM376 juta), sembilan syarikat subsidiari TH (RM276 juta) dan sembilan syarikat subsidiari KWAP (RM252 juta), tambah laporan itu.
Sementara itu, sebanyak 42 syarikat subsidiari merekodkan kerugian berjumlah RM1.771 bilion pada 2024 yang terdiri daripada 20 syarikat subsidiari beroperasi dalam negara dan 22 syarikat subsidiari beroperasi di luar negara.
Sebanyak 21 syarikat subsidiari KWSP mencatatkan kerugian RM1.431 bilion, dua syarikat subsidiari FELDA (RM149 juta), 10 syarikat subsidiari KWAP (RM93 juta), enam syarikat subsidiari TH (RM83 juta) dan tiga syarikat subsidiari LTAT (RM15 juta).
Laporan itu juga menyatakan 24 daripada 42 syarikat subsidiari bagi lima agensi Persekutuan tersebut mengalami kerugian bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2022 hingga 2024.
“Pada 2024, sebanyak 24 syarikat subsidiari mengalami kerugian berjumlah RM466.57 juta yang terdiri daripada 10 syarikat subsidiari yang beroperasi di dalam negara, manakala 14 syarikat subsidiari beroperasi di luar negara,” menurut laporan itu.
Berdasarkan penyata kewangan beraudit syarikat subsidiari bagi tahun kewangan 2024, kerugian yang dilaporkan mengambil kira penjejasan nilai atau rosot nilai dan bayaran faedah kepada agensi induk selaras dengan piawaian perakaunan yang diterima pakai.
Menurut laporan itu, syarikat subsidiari yang mengalami kerugian tiga tahun berturut-turut sejak 2022 hingga 2024 membabitkan 12 syarikat KWSP, KWAP (enam), TH (tiga), LTAT (dua) dan FELDA (satu).
Laporan itu menjelaskan pada 2024, sebanyak 58 agensi Persekutuan mempunyai 211 syarikat subsidiari dengan 127 daripadanya iaitu 63.2 peratus mencatatkan keuntungan berjumlah RM4.371 bilion, manakala 74 lagi atau 36.8 peratus mengalami kerugian berjumlah RM1.819 bilion selain 10 syarikat berstatus dorman tidak merekodkan sebarang untung atau rugi.
Bagi menambah baik tatakelola pengurusan kewangan di agensi Persekutuan, pihak Audit mengesyorkan kajian semula hala tuju dan pelan perniagaan syarikat subsidiari yang mengalami kerugian selama tiga tahun berturut-turut dan tidak memberikan pulangan yang sewajarnya.
Selain itu, agensi Persekutuan perlu menilai dan mempertimbangkan penutupan syarikat subsidiari yang berstatus dorman atau tidak aktif melebihi lima tahun supaya tidak terus membebankan agensi Persekutuan serta membolehkan penyaluran sumber kepada aktiviti yang lebih produktif.
-- BERNAMA