MALAYSIA

LKIM perkukuh pembangunan akuakultur, jamin bekalan ikan negara

Bernama 31/01/2026 | 20:15 MYT
Muhammad Faiz pada Program Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM bersama nelayan Perlis di Kompleks Perikanan LKIM Kuala Perlis pada Sabtu. - Gambar Bernama
KANGAR: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menekankan pembangunan akuakultur sebagai strategi jangka panjang bagi menjamin bekalan ikan negara di samping membuka peluang pendapatan baharu kepada komuniti nelayan termasuk golongan belia.


Ringkasan AI
  • LKIM menekankan pembangunan akuakultur sebagai strategi jangka panjang untuk memastikan bekalan ikan negara dan membuka peluang pendapatan baru kepada komuniti nelayan.
  • Nelayan perlu bersedia melakukan anjakan daripada kaedah tangkapan tradisional kepada pendekatan lebih moden dan berkemahiran menjelang 2030.
  • LKIM memperkukuh infrastruktur, meningkatkan kapasiti pengeluaran akuakultur, menyediakan latihan bersesuaian, dan mengukuhkan sistem pemasaran ikan negara untuk memastikan bekalan ikan lebih stabil dan harga ikan dapat dikawal.


Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata menjelang 2030, sektor akuakultur disasarkan menjadi antara penyumbang utama kepada pengeluaran ikan negara, justeru, nelayan perlu bersedia melakukan anjakan daripada kaedah tangkapan tradisional kepada pendekatan lebih moden dan berkemahiran.

"Kita tidak mahu nelayan terlepas peluang dalam bidang akuakultur kerana ini merupakan antara fokus utama negara pada masa hadapan. Akuakultur memerlukan kemahiran khusus dan sebab itu kita mahu lahirkan nelayan moden termasuk belia nelayan yang terlatih dalam bidang ini," katanya.

Muhammad Faiz berkata demikian kepada pemberita selepas Program Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM bersama nelayan Perlis di Kompleks Perikanan LKIM Kuala Perlis dekat sini pada Sabtu.

Beliau berkata antara tumpuan utama LKIM ketika ini ialah memperkukuh kemudahan infrastruktur dan meningkatkan kapasiti pengeluaran akuakultur serta menyediakan latihan bersesuaian bagi memastikan nelayan mampu mempelbagaikan sumber pendapatan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan.

Muhammad Faiz berkata usaha itu turut disokong melalui program MyAquaBest yang menumpukan aspek pemasaran hasil akuakultur sekali gus memperluas akses pasaran kepada persatuan nelayan.

"Jika sebelum ini hanya 13 Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) terlibat secara langsung dalam akuakultur, kini jumlah itu meningkat kepada 20 PNK. Kita juga akan menggabungkan bekalan daripada akuakultur dan tangkapan laut untuk mengukuhkan sistem pemasaran ikan negara," katanya.

Beliau berkata pengukuhan rantaian bekalan itu penting bagi memastikan bekalan ikan lebih stabil terutama ketika musim perayaan atau tempoh tertentu yang sering menyaksikan turun naik harga.

"Isu harga ikan perlu dilihat secara menyeluruh termasuk aspek logistik, pengangkutan dan penyimpanan. Di peringkat LKIM, kita pastikan nelayan mempunyai kemudahan mencukupi untuk turun ke laut, namun penyelesaian harga memerlukan pendekatan kolektif merentasi rantaian bekalan," katanya.

Selain itu, Muhammad Faiz berkata pembangunan industri hiliran berasaskan hasil perikanan seperti produk sejuk beku dan makanan berasaskan ikan turut diberikan perhatian bagi meningkatkan nilai tambah kepada hasil nelayan tempatan.

Pada program itu, beliau menyempurnakan majlis penyerahan bantuan kepada nelayan di bawah Program Peningkatan Pendapatan - Insentif/Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touchpoint) LKIM, melibatkan pemberian sebuah enjin sangkut berkuasa 30 kuasa kuda (kk) kepada seorang penerima.

Selain itu, sebanyak 30 individu menerima bantuan pukat berserta kelengkapan serta tong ikan berinsulasi, manakala bantuan bakul makanan diberikan kepada 10 penerima terdiri daripada nelayan di bawah PNK Kuala Perlis.

-- BERNAMA




#sejuk beku #musim perayaan #rantaian bekalan #LKIM