Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

LKIM sedia stok 1,900 tan metrik ikan untuk musim tengkujuh

Bernama 09/10/2025 | 12:15 MYT
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil (tengah) bergambar bersama para nelayan pada Majlis Rahmah Mesra MADANI Nelayan Dungun di LKIM Dungun, hari ini. - Foto BERNAMA
DUNGUN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyimpan sebanyak 1,900 tan metrik ikan sejuk beku sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.


Ringkasan AI
  • LKIM menyimpan 1,900 tan metrik ikan sejuk beku sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh bagi memastikan bekalan dan harga ikan kekal stabil.
  • Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata stok itu disediakan bersama pihak swasta dan kerjasama dengan KPDN akan dilakukan bagi mengelak manipulasi harga.
  • LKIM juga membina 68 rumah baharu dan membaik pulih 212 rumah nelayan tahun ini dengan peruntukan RM10 juta, termasuk RM2.02 juta untuk Terengganu.


Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata langkah itu bagi memastikan bekalan makanan laut berkenaan cukup dan harganya kekal stabil di pasaran pada musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula dari November ini hingga Mac tahun depan.

"Lazimnya, stok ikan segar akan berkurangan pada musim tengkujuh kerana nelayan di Pantai Timur tidak dapat turun ke laut.

"Oleh itu, LKIM telah mengambil langkah menyimpan stok ikan sejuk beku dengan kerjasama pihak swasta, iaitu orang tengah. Pihak swasta menyediakan bekalan sebanyak 1,600 tan metrik manakala LKIM pula menyimpan 300 tan metrik ikan.

"Jadi, tidak sepatutnya ada isu kenaikan harga ikan. Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekiranya masih terdapat pihak yang mengambil kesempatan memanipulasi harga dengan sewenang-wenangnya," katanya ketika ditemui pada Program Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan di Kompleks LKIM Dungun, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah LKIM Terengganu Ahmad Nazri @ Abd Zaim Madri.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata LKIM telah membina sebanyak 68 rumah baharu dan membaik pulih 212 rumah nelayan pada tahun ini yang melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Beliau berkata Terengganu merupakan penerima tertinggi Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) dengan peruntukan sebanyak RM2.02 juta.

"Di Terengganu, sebanyak 17 nelayan menerima rumah baharu manakala 30 lagi dibaik pulih. Baik pulih melibatkan kos maksimum sebanyak RM20,000 sebuah manakala bina baharu kira-kira RM84,000," katanya.

-- BERNAMA




#Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia LKIM #musim tengkujuh #ikan sejuk beku #monsun timur laut