Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan melakukan sekatan eksport ke atas bekalan spesies ikan yang popular kalangan rakyat negara ini mulai 1 Jan sehingga 28 Feb tahun depan.

Pengerusi LKIM, Mohd Faiz Fadzil berkata ini bagi memastikan bekalan spesies ikan terbabit di pasaran negara ini mencukupi dan harganya berpatutan ketika musim tengkujuh dan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina awal tahun depan.

"Sekatan eksport ikan terbabit adalah terhadap spesies ikan rakyat atau ikan yang popular kalangan rakyat seperti ikan kembung, ikan bawal, ikan pelaling, ikan selar dan udang," katanya selepas merasmikan Program Bazar Peduli Rakyat (BPR) di sebuah pasar raya di Tabuan Jaya, di sini, hari ini.

BPR yang merupakan kerjasama LKIM dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk membantu rakyat dalam golongan B40 membeli barangan makanan termasuk ikan dengan potongan harga lima hingga 30 peratus.

Katanya setakat ini harga ikan secara keseluruhannya seluruh negara masih terkawal dan bekalannya juga mencukupi di pasaran walaupun musim tengkujuh dan menjelangnya perayaan Krismas kerana LKIM ada menyimpan bekalan ikan yang mencukupi bagi menghadapi musim itu.

Selain itu, Faiz berkata ketika musim tengkujuh ini hanya nelayan pesisir pantai yang tidak menangkap ikan berikutan laut bergelora tetapi nelayan laut dalam iaitu di zon C dan C2 masih boleh turun ke laut menangkap ikan.

"Jadi tidak seharusnya harga ikan melambung pada musim tengkujuh ini kerana bekalan ikan sentiasa ada. Setakat hari ini juga daripada laporan yang kami terima harganya adalah terkawal," katanya dan berharap orang tengah dan peniaga tidak menaikkan harga ikan.

Selain itu, bagi terus mengawal harga ikan di pasaran, LKIM juga akan melakukan sekatan eksport ikan pada pertengahan tahun depan bermula 15 April sehingga 15 Jun bersempena ketibaan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Antara dalam senarai sekatan eksport ikan pertengahan tahun depan ialah ikan kembong, ikan selar, ikan selayang atau sardin, ikan bawal hitam dan udang.

-- BERNAMA