ALOR SETAR: Lembaga Koko Malaysia (LKM), agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) merancang untuk membantu petani membuka kira-kira 200 hektar kawasan tanaman koko baharu di seluruh negara pada tahun ini.

KPK dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, kawasan tanaman baharu itu meliputi 110 hektar di Sabah, 80 hektar di Semenanjung dan 10 hektar di Sarawak.

"Pada masa ini jumlah keluasan tanaman koko negara adalah seluas 5,985 hektar, iaitu 3,444 hektar di Sabah, 1,454 hektar di Sarawak dan 1,087 hektar di Semenanjung.

Kementerian melalui LKM terus komited dalam melaksanakan program bagi merancakkan pengeluaran biji koko, antaranya dengan mempertingkatkan keluasan kawasan penanaman bagi menjamin kelangsungan sektor koko negara," katanya.

Dalam kenyataan sama, KPK berkata, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini telah hadir ke sesi santai bersama pengusaha tanaman koko di Kodiang, dekat sini sempena program Trek Komoditi 2023 (Zon Utara Semenanjung).

Sesi berkenaan berlangsung di kediaman salah seorang pekebun kecil koko di Kampung Kubang Menerung, Zulkifli Romli yang telah mengusahakan tanaman koko sejak 2015 menerusi program pembangunan koko LKM.

Menurut KPK, Zulkifli merupakan salah seorang daripada 14 pekebun koko di negeri ini dan jumlah keluasan tanaman koko di Kedah berjumlah 4.38 hektar meliputi Daerah Kubang Pasu dan Padang Terap.

Kementerian itu berkata Timbalan Perdana Menteri turut melawat tapak pemprosesan biji koko termasuk kotak pemeraman biji koko basah dan pelantar pengering.

"Cabaran isu-isu penanaman koko seperti kos input pertanian yang tinggi mengakibatkan pembajaan yang terhad serta isu kekurangan golongan belia yang berminat untuk meneruskan usaha menanam koko telah disuarakan oleh pekebun kecil sektor koko semasa sesi tersebut," katanya. - BERNAMA