[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Lori alami masalah brek rempuh 15 kenderaan

Sinar Harian 13/04/2025 | 09:05 MYT
Beberapa kenderaan mengalami kerosakan setelah dirempuh sebuah lori dalam kejadian di susur keluar berdekatan Plaza Tol Serenia, Sepang menghala ke Cyberjaya pada Sabtu.
SEPANG: Sebuah lori dipercayai mengalami masalah brek telah merempuh 15 kenderaan di susur keluar berdekatan Plaza Tol Serenia di sini menghala ke Cyberjaya pada Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G K Shan Gopal berkata, pihaknya menerusi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang sebelum itu menerima maklumat berkaitan kejadian kira-kira jam 4 petang.
"Siasatan lanjut mendapati dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang ini, lori terbabit dipandu seorang lelaki dari arah Nilai menghala ke Cyberjaya.
"Lori terbabit dipercayai mengalami masalah teknikal (brek) dan telah hilang kawalan sebelum melanggar 15 buah kenderaan yang berada di kiri dan kanan jalan untuk menunggu giliran keluar dari susur menghala ke Cyberjaya," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, bagaimanapun semua mangsa yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Pelanggaran hanya melibatkan kerosakan kepada beberapa kenderaan terlibat dan tidak melibatkan sebarang kecederaan.
"Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian kemalangan tersebut diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang atau Inspektor Muhamad Haziq Ab Karim di talian 017-9076260.
"Orang ramai diingatkan berhati-hati demi keselamatan diri, keluarga dan pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sebuah lori melanggar beberapa buah kenderaan di sebuah jalan dekat kawasan Dengkil. - Sinar Harian
#kemalangan lori #Tol Serenia #Cyberjaya #G K Shan Gopal