MALAYSIA

Lori hilang kawalan turun bukit terbabas masuk laluan bertentangan

Sinar Harian 05/07/2025 | 10:34 MYT
Tangkap layar lori terbabas sebelum masuk laluan bertentangan yang tular sejak Jumaat lalu. -Sinar Harian
SEREMBAN: Hilang kawalan ketika menuruni bukit dan kawasan selekoh menjadi punca sebuah lori terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dalam kejadian di Jalan Persiaran Forest Heights 1 Senawang pada petang Rabu.


Ringkasan AI
  • Sebuah lori hilang kawalan ketika menuruni bukit dan selekoh lalu terbabas ke laluan bertentangan di Jalan Persiaran Forest Heights 1, Senawang.
  • Lori melanggar longkang dan tiang pembahagi jalan yang kemudian terkena sebuah Mitsubishi Xpander dari arah bertentangan, namun tiada kecederaan dilaporkan.
  • Polis meminta saksi atau individu dengan rakaman dashcam tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat atau hadir ke balai polis berhampiran.


Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 5.55 petang dan tular di media sosial menerusi video selama 35 saat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati lori jenis Nissan itu dipandu lelaki berusia 23 tahun dari arah Seremban ke Jalan Senawang - Paroi.

“Lori ini hilang kawalan kemudiannya melanggar longkang dan sebatang tiang di atas pembahagi jalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Tiang yang tumbang akibat rempuhan itu terkena bahagian sisi kanan sebuah Mitsubishi Xpander yang dipandu oleh seorang wanita berusia 37 tahun dari arah bertentangan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun katanya, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan dijalankan mengikut Kaedah 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

"Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau rakaman kamera papan pemuka untuk tampil membantu siasatan.

“Mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Shahrizan Khairi di talian 019-8461792 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. -Sinar Harian





#lori hilang kawalan #menuruni bukit dan selekoh #Jalan Persiaran Forest Heights 1 #tiang pembahagi jalan