Lori jatuh laut, pemandu ditemui lemas

Abd Razak Mohd Ali
April 5, 2023 04:00 MYT
Operasi yang dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Pulau Pangkot tamat jam 10.13 pagi. - Gambar/ JBPM/ Sinar Harian
MANJUNG: Pemandu yang terjatuh ke dalam laut bersama lori dikendalikannya di Terminal Maritim Lumut di sini, pagi ini, ditemui lemas.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Azizi Zakaria berkata, mayat Aqil Rasydan Razmi, berusia 20-an ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sebelum dibawa naik dan disahkan meninggal dunia.
"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Operasi yang dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Pulau Pangkot tamat jam 10.13 pagi.
BACA: Lori jatuh laut, pemandu dikhuatiri lemas
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas lori dipandunya terjatuh ke dalam laut sedalam 11 meter di terminal berkenaan kira-kira jam 5.30 pagi.
Susulan itu, operasi SAR segera digerakkan dan beberapa kapal berdekatan pelabuhan itu telah dialihkan bagi memudahkan operasi SAR dilakukan.
Turut digunakan adalah dua kren pelabuhan itu untuk mengeluarkan lori terbabit.
#lori jatuh laut #pemandu lori #lemas #Terminal Maritim Lumut