NATIONAL
Lori muatan kayu palet rempuh SUV sebelum terbabas
Sebuah lori membawa muatan kayu palet dipercayai hilang kawalan dan merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) sebelum terbabas. - Foto Sinar Harian
BUKIT MERTAJAM: Sebuah lori membawa muatan kayu palet dipercayai hilang kawalan dan merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) sebelum terbabas berhampiran persimpangan lampu isyarat Kebun Sireh, Bukit Tengah di sini, pagi tadi.
Kejadian itu menyebabkan pemandu lori berkenaan, lelaki berusia 74 tahun dan anaknya berusia 18 tahun mengalami cedera ringan manakala pemandu SUV jenis Mercedes yang merupakan lelaki berusia 43 tahun juga terselamat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.55 pagi sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bandar Perda ke lokasi kejadian.
"Terdapat dua mangsa tersepit di dalam lori manakala pemandu kereta telah dibawa ke hospital sebelum bomba tiba.
"Kedua-dua mangsa di dalam lori itu berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba dan mengalami kecederaan ringan. Mangsa telah diberikan rawatan oleh Persatuan Bantuan Kecemasan Bukit Mertajam yang turut berada di lokasi," katanya ketika dihubungi.
Mohamad Shoki berkata bomba kemudian melakukan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan dan operasi tamat 12.10 tengahari.
Kejadian itu tular di media sosial dan difahamkan lokasi tersebut merupakan tempat sama berlakunya kemalangan yang meragut nyawa seorang wanita selepas kereta dipandu dihempap kontena yang terjatuh daripada sebuah treler pada 13 Nov tahun lepas.
-- BERNAMA