KLUANG:Tiga sekeluarga termasuk suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan berhampiran Plaza Tol Machap, dekat sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu membabitkan tiga lori dan lima kereta semuanya dari arah Simpang Renggam menghala ke Ayer Hitam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata tiga mangsa yang maut disahkan penumpang Hyundai Elantra yang dinaiki lima sekeluarga.

Pasangan suami isteri Wong Fook Onn, 55, dan Chong Yoke Choo, 52, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa Tan Sow Ngo, 55, meninggal dunia di Hospital Kluang.

Difahamkan kejadian berlaku apabila sebuah lori 10 tan hilang kawalan dan merempuh tujuh kenderaan lain yang ketika itu berhenti di lampu isyarat berhampiran Plaza Tol Machap.

Ketika kejadian, Hyundai Elantra berada paling belakang menyebabkan kenderaan itu remuk dan dua mangsa suami isteri terbabit tersepit di tempat duduk masing-masing.

Sementara itu, lapan mangsa lain yang cedera dihantar ke Hospital Kluang dan klinik kesihatan berdekatan untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shamin Mohamed Salikin memaklumkan sebuah jentera dan pacuan empat roda (4WD) dengan 10 anggota daripada BBP Ayer Hitam dikejarkan ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu.

Dua mangsa itu berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang datang untuk memberikan bantuan kecemasan.