Lori tangki hilang kawalan rempuh gerai, rumah dan kereta

Ridzal Abdullah
Julai 3, 2019 10:55 MYT
Kerosakan teruk yang berlaku setelah lori tangki yang hilang kawalan merempuh sebuah gerai, dua buah rumah serta kereta di Jalan Membatu -Tungku. - PDRM
Seorang penjual bantal kekabu dan dua orang pemilik rumah terselamat dari maut apabila sebuah lori tangki merempuh gerai jualan dan kediaman mereka di Jalan Membatu -Tungku.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pemandu lori tangki tersebut hilang kawalan pemanduan dari arah Lahad Datu menuju ke Felda Sahabat 13.
Sewaktu lori itu mendekati lokasi nahas, pemandu lori berusia 40 tahun itu bertindak melompat keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri.
"Lori tangki itu merempuh gerai menjual bantal, dua buah rumah termasuk sebuah kereta jenis Proton yang parkir di tepi jalan," ujar Nasri.
Tambah beliau, kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan termasuk pemandu lori tangki.
Difahamkan, pemandu lori tidak dalam keadaan mabuk dan siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku hanya disebabkan masalah pada brek lori.
Pemandu itu tidak ditahan namun kes diklasifikasikan mengikut Undang-Undang 10-LD 166 kerana memandu secara lalai mengawal kenderaan.
#felda sahabat 13 #Lahad Datu #lori rempuh gerai #lori rempuh rumah #lori tangki #mangsa #pemandu hilang kawalan #polis