MALAYSIA

Lori tangki terlanggar penghadang besi, 500 liter minyak sawit tumpah atas jalan

Sinar Harian 03/06/2025 | 08:20 MYT
Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja menutup kebocoran tangki serta membersihkan sisa tumpahan minyak di atas jalan raya. -Sinar Harian
PERAI: Sebuah lori tangki yang membawa muatan minyak kelapa sawit mengalami kebocoran selepas terlanggar penghadang besi di laluan Plaza Tol Juru arah utara, di sini pada Selasa.


Ringkasan AI
  • Sebuah lori tangki membawa minyak kelapa sawit mengalami kebocoran selepas melanggar penghadang besi di Plaza Tol Juru arah utara pada Selasa, menyebabkan tumpahan kira-kira 500 liter minyak di atas jalan.
  • Pasukan bomba dari BBP Perai tiba di lokasi dalam masa 20 minit selepas menerima panggilan kecemasan dan menjalankan kerja-kerja menutup kebocoran serta membersihkan tumpahan.
  • Operasi turut dibantu oleh Unit Hazmat dari BBP Sungai Bakap, dan tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut.


Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tumpahan minyak tersebut pada jam 11.59 pagi.

Berikutan itu, katanya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 12.19 tengah hari.

“Kejadian melibatkan kebocoran pada tangki hadapan lori tangki akibat pelanggaran dengan penghadang besi.

“Dianggarkan sebanyak 500 liter minyak kelapa sawit telah tertumpah ke atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

John Sagun berkata, pasukan bomba menjalankan kerja-kerja menutup kebocoran tangki serta membersihkan sisa tumpahan minyak.

Tambahnya, kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian turut dibantu oleh Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari BBP Sungai Bakap dan tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut. -Sinar Harian








#Balai Bomba dan Penyelamat #minyak kelapa sawit #lori tangki #langgar penghadang besi #Plaza Tol Juru