Lori terbabas, pemandu maut tersepit

Sinar Harian
April 7, 2022 22:20 MYT
Pemandu lori maut akibat tersepit selepas lori dipandu secara tiba-tiba hilang kawalan. - Foto ihsan Bomba Pahang
KUANTAN: Seorang pemandu lori maut selepas tersepit pada kenderaan dipandunya yang terbabas ketika menuruni kawasan berbukit di kuari Bukit Pengorak, Jalan Kuantan-Kemaman pada jam 11 pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi, mangsa Ahmad Asrol Ab Rahman, 41, berasal dari Kuala Terengganu meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati pemandu bersama muatan tanah dari kawasan kuari untuk menghala turun ke arah Gebeng.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, lori yang dipandu mangsa secara tiba-tiba hilang kawalan dan mangsa cuba terjun dari kenderaan itu namun gagal.
"Mangsa dikatakan tersepit pada pintu pemandu sebelah kanan sebelum lori terbabas ke tebing tanah," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Jelasnya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.
Menurut Wan Mohd Zahari, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati kemalangan disebabkan kecuaian pemandu dan kes diklasifikasi mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai 11 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan.
Ujarnya, anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
*Berita asal di Sinar Harian
#Balai Bomba dan Penyelamat #pemandu lori maut tersepit #kuari Bukit Pengorak #Ahmad Asrol Ab Rahman