DREBAR

Lotus Elise Cup 250 baharu – 243hp, 250Nm

Astro Publication 23/02/2016 | 02:22 MYT

Lotus Elise Cup memang sudah agak garang – sesuai dengan namanya yang menunjukkan kepada spesifikasi yang lebih menjurus kepada pemanduan litar – tetapi Lotus telah menambah lagi kepada sifat ini dengan melancarkan Elise Cup 250.

Ia menggantikan Elise Cup 220. Model baharu ini datang dengan tambahan 26hp, menjadikan jumlahnya 243hp pada kelajuan enjin 7,200rpm, manakala tork pula adalah 250Nm yang tiba antara 3,500rpm dan 5,500rpm.

Output ini datang daripada enjin empat-silinder, 1.8-liter yang mendapat galakan daripada sebuah ‘supercharger’.

Seperti biasa bagi Lotus, pengurangan berat menjadi faktor penting di dalam memberi prestasi lebih tinggi. Bagi itu, bateri sekarang adalah jenis Litium-ion (jimat 10kg), kerusi diperbuat daripada gentian karbon (jimat 6kg), dan aloi ditempa yang digunakan pula adalah 1.5kg lagi ringan. Ditambah lagi dengan beberapa langkah lain, Lotus Elise Cup 250 ini adalah 21kg lebih ringan daripada sebelumnya.

Jika masih tidak berpuas hati, pembeli juga boleh memilih pakej Carbon Aero yang mengurangkan berat sebanyak 10kg lagi untuk menjadikan berat keseluruhan hanya 921kg.

Kereta ini boleh dibeli sama ada di dalam spesifikasi roadster (standard) ataupun memilih versi berbumbung keras.

Untuk membantu pengendalian, tayar hadapan bersaiz 195/50 R16 boleh memberi tindak balas stereng yang lebih tajam dan jitu (tayar belakang bersaiz 225/45/17). Turut ada adalah mod ‘Sport’daripada sistem Lotus Dynamic Performance Management (DPM) yang memperbaiki tindak balas pendikit dan mengurangkan campurtangan sistem kawalan cengkaman.

Sistem brek dan suspensi diambil daripada Cup 220 terdahulu, termasuk batang anti-roll hadapan bolehubah, penyerap hentak Bilstein serta spring Eibach. Di hadapan, brek adalah AP Racing dengan angkup dwi-omboh manakala di belakang pula adalah jenis Brembo satu omboh.

Bodykit baharu yang ada menghasilkan daya tekan (downforce) sebanyak 66kg pada kelajuan 161km/j, dan 155kg pada 248km/j.

Lotus Elise Cup 250 baharu ini mengelilingi litar ujian syarikat dalam masa 1 minit 34 saat, empat saat lebih pantas daripada Cup 220 sebelum ini. Ini juga adalah masa terpantas yang pernah dirakam oleh sebuah Elise pengeluaran biasa.

Jualan akan bermula di semua pasaran kecuali Amerika Utara bermula April 2016.
# # Cup # Elise #lotus