DREBAR
Lotus Evora 400 tiba di Malaysia. Harga dari RM597,999
Lotus Evora 400 telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia, kereta berprestasi tinggi terbaharu daripada Lotus yang juga merupakan model terpantas yang pernah Lotus hasilkan.
Enjin supercharge 3.5-liter V6 yang terletak di belakang pemandu menjana 400hp dan tork sebanyak 410Nm, cukup untuk memacu jentera ini ke 100km/j dari rehat dalam hanya 4.2 saat. Seperti biasa bagi syarikat British milik Proton ini, fokus bukan hanya pada prestasi enjin, tetapi juga untuk pengendalian yang jitu.
Mengikut ujian masa yang dijalankan, Evora 400 ini mampu mengelilingi litar Lotus sehingga tujuh saat lebih pantas daripada Evora sebelumnya. Walaupun tidak banyak perbezaan fizikal yang dilihat dari luar, sebenarnya hanya satu pertiga model varian baharu ini masih dikekalkan.

Casis aluminiumnya sudah diperbaharui, begitu juga dengan reka dalaman. Depan dan belakang badan kereta komposit ini juga telah diberikan banyak tambah baik. Berat keseluruhan telah turun sebanyak 42kg.
Harga asas bagi Lotus Evora 400 ini bermula dari RM597,999 (kotak gear manual), dan RM610,999 bagi varian dengan kotak gear automatik. Terdapat beberapa pilihan pakej tambahan yang boleh dibuat pembeli, dan antara lain ia merangkumi warna metalik lebih unik, kerusi dibalut kulit/Alcantara, cruise control, aloi 19 inci (depan) dan 20 inci (belakang) serta warna angkup brek tambahan.

Setiap pembelian disertakan waranti tiga tahun (servis percuma selama dua tahun), kemasukan automatik ke dalam Kelab Rasmi Lotus Malaysia (LOCM) dan penyertaan sekali ke Akademi Memandu Lotus.
Majlis pelancaran Lotus Evora ini telah disempurnakan oleh pengerusi Proton, Tun Mahathir Mohamad dan CEO, Dato’ Abdul Harith Abdullah.